Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menteri jangka PRU15 lepas Belanjawan 2023

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini membayangkan pilihan raya umum akan datang mungkin diadakan hanya selepas pembentangan belanjawan kerajaan persekutuan.

Dia menolak khabar angin parlimen akan dibubarkan seawal bulan depan. Wan Junaidi berkata khabar angin itu berkemungkinan disebarkan oleh laskar siber untuk mencetuskan spekulasi.

"Apa yang berlaku sekarang ialah saya cukup yakin satu perkara, bahawa perdana menteri menunggu bajet dahulu.

"Sebabnya biasa bila orang politik akan gubal bajet yang baik, lepas tu bentang bajet.

"Yang terbaik luluskan bajet itu dulu," kata Wan Junaidi ketika ditemui di luar majlis sambutan Hari Kebangsaan Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur malam ini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai imej tular awal hari ini yang mendakwa parlimen akan dibubarkan pada 1 Sept, dan hari pengundian pada 8 Okt.

"Bila dah lulus, rakyat dah menikmati kebaikan bajet itu, baru sesuai kalau nak bubar, bubarlah ketika itu,” kata Wan Junaidi.

Bagaimanapun, katanya terdapat pertimbangan lain termasuk keadaan cuaca buruk di negeri tertentu untuk mengadakan pilihan raya menjelang akhir tahun.

Gambar fail, banjir di musim tengkujuh.

"Tapi kena tengok mungkin musim tengkujuh bulan November dan Disember di Semenanjung, dan Januari dan Februari di Sarawak," katanya.

Jelas Wan Junaidi semua faktor ini perlu dipertimbangkan.

"Bagaimanapun terpulang kepada Duli Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) juga kerana bawah Perlembagaan Persekutuan, perdana menteri boleh minta Tuanku membubarkan (parlimen) tapi akhirnya Duli Tuanku ada kuasa bawah perlembagaan tidak membubar dewan atas permohonan perdana menteri," katanya.

Mengikut jadual parlimen semasa, Belanjawan 2023 akan dibentangkan pada 28 Okt.