Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

‘Kerjasama di Pahang? PAS boleh jamin tak langgar 9 kerusi PH?’

Pelawaan Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari untuk bekerjasama menumbangkan kerajaan Pahang tidak kena dengan masa, kata Pemuda Pakatan Harapan (PH) Pahang.

Ketuanya Young Syefura Othman menyifatkan pelawaan itu sebagai 'drama' dan menunjukkan parti itu sanggup bekerjasama dengan mana-mana parti untuk mendapatkan kuasa.

Young Syefura berkata, sepatutnya PAS melihat kepada realiti semasa dengan kedudukan kerusi dewan undangan negeri (DUN) ketika ini.

"PH mempunyai sembilan kerusi DUN, manakala PAS pula ada lapan kerusi maka boleh dirumuskan daripada perbezaan kerusi ini, kedudukan PH lebih kukuh berbanding PAS.

"Memang kita mempunyai visi yang sama dengan PAS untuk menumbangkan kerajaan BN di Pahang, namun PH tidak dapat melupakan kejadian PAS bersekongkol dengan Bersatu dan BN menjatuhkan kerajaan PH melalui Langkah Sheraton pada tahun 2020.

"Ini bermakna sebarang kerjasama dengan PAS tidak menjamin satu hubungan politik stabil," katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Young Syefura yang juga ahli dewan undangan negeri (Adun) Ketari turut mempersoalkan sama ada PAS boleh memberi jaminan untuk tidak bertanding di sembilan kerusi DUN disandang PH ketika ini.

"Oleh itu, saranan Ketua Pemuda PAS wajar dibalas dengan 'thank you but no thank you' dan tidak ada keperluan untuk penyokong PH memberi sokongan kepada PAS," katanya lagi.

Semalam, Ahmad Fadhli yang juga ahli parlimen Pasir Mas, Kelantan secara terbuka dilihat mulakan langkah menawan Pahang selepas berjaya menguasai Kelantan dan Terengganu melalui pilihan raya umum (PRU) lalu, selain Kedah selepas Langkah Sheraton.

Dia menyeru supaya penyokong PH supaya berfikir sejenak untuk melihat betapa pentingnya mengubah kepimpinan negeri terbabit.

Hari ini PAS menang lapan kerusi dewan undangan negeri (DUN) daripada 42 kerusi Pahang dalam PRU ke-14. BN (menang) 25 kerusi manakala PH sembilan kerusi.

"Dalam PRU yang akan datang jika penyokong-penyokong PH dapat berfikir sejenak betapa pentingnya mengubah kepimpinan Pahang, insya-Allah PAS ada peluang untuk menang atau setidak-tidaknya menjadi pemegang ‘syer’ paling besar dalam pembentukan kerajaan Pahang," katanya.

Ahmad Fadhli bagaimanapun hari ini menegaskan bahawa ajakan itu hanya dituju kepada penyokong PH, dan bukan kepada parti gabungan pembangkang itu untuk bekerjasama.