Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

'Saya antara 35 banduan disebat pada hari sama'

Pekerja warga Indonesia yang dipenjara dan disebat secara salah berkata, dia antara 35 lagi banduan di Penjara Tawau yang disebat secara bergilir-gilir pada hari yang sama.

Mengimbas kembali pengalaman menakutkan menunggu gilirannya, Sabri Umar berkata semua banduan diarah hanya memakai kain untuk menutup alat sulit mereka.

"Kami bergilir ke tempat sebatan dan kami kami didepangkan. tangan kami didepa ke atas dan diikat di rangka tempat kami berdiri.

"Mereka buka ikatan selepas sebat dan beritahu kami untuk pakai baji sementara menunggu dan melihat orang lain pula disebat," kata lelaki berusia 31 tahun itu dengan suara bergetar-getar.

Bagi Sabri, pengalaman dikumpul di kawasan sama dan melihat orang lain disebat sementara dia menunggu giliran adalah sesuatu yang menakutkan.

"Ramai yang menjerit dan menangis...Saya ingat ada seorang yang terima 10 sebatan pada hari itu.

"Selepas disebat, saya terus rasa tiada tenaga lagi. Rotan koyakkan kulit di punggung dan beberapa minit kemudian saya mula berdarah.

"Saya tak boleh duduk selama 10 hari selepas itu dan tidur secara meniarap agar luka tak jadi semakin teruk," kata Sabri.

Dalam tempoh hanya empat bulan sejak April, Sabri yang sebelum itu bekerja di sebuah kilang papan lapis di Kalabakan di Tawau, Sabah, dipecat secara salah oleh majikan, ditangkap dan ditahan juga secara salah oleh pihak berkuasa.

Dia disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 tetapi akhirnya didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Dia mendakwa tidak bersalah atas kedua-dua dakwaan namun Mahkamah Sesyen mejatuhkan hukuman penjara 11 bulan dan lima sebatan kepadanya.

Empat bulan selepas ditangkap, Mahkamah Tinggi Tawau membebaskannya namun dia hidup dalam kebimbangan ditangkap semula di bawah kesalahan seksual dan dimasukkan ke penjara semula.


Warga Indonesia dakwa dipenjara dan disebat secara salah

Konsulat Indonesia akan tuntut keadilan warga didakwa dihukum secara salah


Sabri berkata ada kemungkinan terdapat banduan di penjara itu yang turut dihukum secara salah sepertinya.

Dia dikenakan lima sebatan walaupun ketika notis rayuan difailkan di peringkat Mahkamah Tinggi untuk mengetepikan sabitan. Dia yang kini mendapat sokongan Konsulat Indonesia di Tawau berkata akan mendapatkan keadilan.

Menceritakan lebih lanjut, dia berkata dua hari selepas disebat, dia demam dan hanya mengambil "ubat kuning" yang diberi kepada setiap banduan setelah disebat.

Dia mendakwa mereka tidak diberi ubat lain dan ada banduan yang demam turut diarah hanya untuk mandi air sejuk.

Selepas pembebasannya, dia pergi berjumpa doktor kerana mengalami kesakitan ketika kencing.

Konsul di Konsulat Indonesia di Tawau, Heni Hamidah berkata pihaknya menghantar Sabri untuk ujian kesihatan kedua pada Isnin lalu untuk mendapati sejauh mana komplikasi akibat sebatan.

Ratifikasi Konvensyen PBB

Peguam jenayah Michelle Rossana Usman dari Kota Kinabalu, yang berhubung dengan Kesatuan Pekerja Industri Balak (STIEU) yang akan mewakili Sabri mengambil maklum berkenaan reputasi Malaysia dalam amalan sebatan.

Sabri adalah anggota STIEU.

Memetik statistik oleh Amnesty International, Michelle berkata pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa menjangka seramai 10,000 orang dikenakan sebatan setiap tahun di Malaysia, dengan kebanyakannya warga asing.

"Malangnya Sabri disebat atas kesalahan yang tidak dilakukan kerana dia ada dokumen yang diperlukan untuk masuk ke Malaysia sebagai pekerja.

"Sudah tiba masanya Malaysia meratifikasi Konvensyen PBB menentang Penyiksaan dan Perlakuan atau Hukuman Kejam, Tidak Manusiawi atau Merendahkan Yang Lain.

"Kerajaan juga perlu meratifikasi Kovenan Antarabangsa Hak Sivil dan Politik," katanya lagi.

Anggota Pusat Hak Asasi Manusia Sabah itu berkata, apa yang berlaku kepada Sabri adalah contoh kes anggota kesatuan pekerja yang didakwa secara salah atas kesalahan yang tidak dilakukannya.

"Bagaimana dengan ribuan lagi yang didakwa di mahkamah kita tetapi tidak diwakili peguam langsung?"

Dia juga menggesa kerajaan meminda perundangan sedia ada agar pelanggaran imigresen dikendalikan sebagai kesalahan pentadbiran, bukannya jenayah yang boleh dijatuhkan hukuman penjara dan sebatan.

[Baca berita asal]