Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Agong diberi sambutan negara sempena lawatan ke Turki

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang berkenan berangkat ke Kompleks Presiden di Ankara hari ini, diberi Sambutan Negara sempena lawatan baginda ke Turki.

Keberangkatan tiba Seri Paduka pada 5.30 petang (waktu tempatan) disambut oleh Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Baginda menerima tabik hormat daripada Pasukan Pengamanan Presiden diiringi lagu kebangsaan Malaysia Negaraku dan lagu kebangsaan Turki Istiklal Marsi serentak dengan tembakan meriam sebanyak 21 das.

Al-Sultan Abdullah, yang diiringi Erdogan, kemudian berkenan memeriksa perbarisan pasukan kawalan kehormatan serta diperkenal kepada barisan kabinet pemerintah Turki.

Turut hadir Menteri Pengiring yang juga Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Pegawai Pengiring Ketua Setiausaha Kementerian Luar Amran Mohamed Zin, Ketua Protokol Kementerian Luar Aini Mohd Atan dan Duta Besar Malaysia ke Turki Sazali Mustafa Kamal.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kini dalam rangka Lawatan Negara ke Turkiye selama tujuh hari bermula semalam.

Al-Sultan Abdullah juga berkenan melakukan pertemuan empat mata dengan Erdogan di Istana Presiden.

Pertemuan Al-Sultan Abdullah dengan Presiden Turkiye itu adalah yang pertama selepas baginda menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai 2019.

Seri Paduka sebelum ini berkenan menyampaikan persetujuan untuk berangkat melakukan lawatan ke Turki ketika menerima panggilan telefon secara peribadi daripada Erdogan pada Mei lepas.

Dalam perbualan telefon itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Erdogan atas pembukaan Masjid Besar Hagia Sophia.

-Bernama