Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Jenazah anak sulung PM pertama, Tunku Khadijah selamat dikebumi

Jenazah anak sulung kepada perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tunku Khadijah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di Kuala Lumpur pada kira-kira 3 petang tadi.

Terdahulu, jenazah Allahyarhamah dimandikan, dikafankan dan disolatkan selepas solat zohor di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Lebih 100 orang hadir bagi menziarahi dan memberikan penghormatan terakhir kepada anak Perdana Menteri Pertama itu, terdiri daripada kaum keluarga dan sahabat handai.

Menurut anak Allahyarhamah, Datin Seri Sharifah Menyalara Hussein, Tunku Khadijah meninggal dunia pada 6.50 petang semalam akibat kanser paru-paru di Hospital Pantai Kuala Lumpur pada usia 89 tahun.

Beliau berkata ibunya menghembuskan nafas terakhir selepas beberapa jam dimasukkan ke hospital setelah didiagnosis dengan penyakit berkenaan awal tahun ini.

Allahyarhamah yang meninggalkan tiga anak termasuk Sharifah Menyalara dan tujuh cucu, sepatutnya menyambut ulang tahun kelahiran ke-90 pada 8 Okt ini.

- Bernama