Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Hampir 80 rumah terjejas akibat ribut di Dungun, Kemaman

Hampir 80 rumah di Dungun dan Kemaman terjejas akibat ribut, petang semalam.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Dungun dalam kenyataan memaklumkan kejadian kira-kira 4 petang itu menjejaskan 50 rumah di lima kawasan perumahan di Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) dan dua rumah di Besol, Bandar Bukit Besi di Dungun.

Menurut kenyataan itu, kawasan terjejas di AMBS ialah enam rumah di Taman Mulia, Taman Indah dan Taman Abadi masing-masing 13 rumah, Taman Setia (tujuh) dan Taman Madani (11).

Setakat ini, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) telah menghantar atap ke rumah terlibat bagi proses penggantian dan pihaknya akan menyerahkan senarai penuh rumah berkenaan kepada Jawatankuasa Bencana Daerah untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun Air Putih Ab Razak Ibrahim berkata sebanyak 27 rumah membabitkan 135 penduduk di kawasan Cheneh dan Felda Neram di Kemaman dikenal pasti terlibat dalam kejadian ribut itu.

Beliau berkata keseluruhan kerosakan rumah penduduk yang kebanyakannya melibatkan bahagian bumbung setakat ini dianggarkan bernilai RM70,000.

Menurutnya bantuan bagi membaik pulih rumah penduduk akan disumbangkan oleh pejabat Dewan Undangan Negeri Air Putih dan pihak Felda.

- Bernama