JC baru dengar permohonan Irwan Serigar, Arul Kanda batal saman 1MDB
Permohonan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy untuk membatalkan saman difailkan 1MDB terhadap mereka yang menuntut bayaran AS$6.59 bilion, akan didengar oleh pesuruhjaya kehakiman (JC) yang baru di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Lavinia Kumaraendran yang mewakili Mohd Irwan ketika dihubungi hari ini selepas pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Azlinda Ahmad Sharif.
Menurut peguam itu, permohonan berkenaan akan didengar di hadapan JC Roz Mawar Rozain bagi menggantikan Hakim Datuk Amarjeet Singh yang akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas di Kuala Lumpur.
"Tarikh pendengaran permohonan yang ditetapkan sebelum ini pada 19 Okt dikekalkan dan pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 27 Sept," kata Lavinia.
Permohonan untuk membatalkan saman itu difailkan Arul Kanda pada Jun lepas manakala Mohd Irwan memfailkan permohonan pada 18 Feb.
Dalam permohonan itu, Mohd Irwan antaranya mendakwa tuntutan saman terhadapnya adalah pramatang kerana pelaburan Brazen Sky serta pembayaran Aabar Investments PJS Limited adalah jelas tidak kukuh memandangkan mahkamah masih belum menentukan 1MDB mengalami kerugian sebanyak AS$1.83 bilion dan AS$3.5 bilion.
Arul Kanda dan Mohd Irwan disaman 1MDB pada Mei tahun lepas berhubung dakwaan mereka telah melakukan pecah amanah dan konspirasi menyebabkan 1MDB mengalami kerugian berjumlah AS$1.83 bilion berhubung pelaburan dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd yang ditukar kepada pelaburan Brazen Sky Limited (Brazen Sky), yang dikatakan terdapat dalam Bridge Global Fund.
1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan itu melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyeleweng wang 1MDB berjumlah AS$3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan AS$1.265 bilion dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 9 Mei 2017.
Menurut 1MDB, Mohd Irwan juga berkonspirasi dengan Arul Kanda untuk menyebabkan syarikat itu melaksanakan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan dan membuat pembayaran berjumlah RM2,905,200 kepada Arul Kanda selaras dengan perjanjian tersebut tanpa menghiraukan kepentingan 1MDB sehingga menyebabkan syarikat berkenaan mengalami kerugian.
Sehubungan itu, 1MDB antaranya menuntut kedua-dua defendan membayar AS$6.59 bilion berhubung pelanggaran tersebut dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berkaitan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai