Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PBM sedia berunding dengan BN isu permohonan jadi komponen

Parti Bangsa Malaysia (PBM) sedia untuk berunding dengan Dewan Tertinggi BN berhubung permohonan untuk parti itu menjadi sebahagian daripada komponen BN.

Ia susulan keputusan mesyuarat Dewan Tertinggi BN bahawa gabungan itu masih memperhalusi dan belum membuat keputusan muktamad terhadap kesemua permohonan bagi menjadi parti komponen.

Setiausaha Agung PBM Nor Hizwan Ahmad berkata pihak mengambil maklum keputusan itu dan memahami selaku gabungan parti paling lama di Malaysia, BN perlu menimbang pelbagai perkara sebelum mencapai keputusan.

"PBM menghargai keputusan BN untuk membincangkan perkara ini dengan lebih teliti sebelum keputusan rasmi dikeluarkan kelak.

"Pimpinan tertinggi PBM turut bersedia untuk berunding bersama Dewan Tertinggi BN sekiranya terdapat sebarang isu atau perkara yang perlu dijelaskan sebelum apa-apa keputusan dibuat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Malam tadi mesyuarat Dewan Tertinggi BN memaklumkan kesemua permohonan bagi menjadi parti komponen sedang diperhalusi oleh pihak urusetia BN.

"Dewan tertinggi merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada parti parti tersebut atas minat dan kesediaan mereka untuk bersama sama dengan BN," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Mengulas lanjut, Nor Hizwan berkata permohonan PBM untuk menyertai BN adalah demi kestabilan dan keharmonian politik Malaysia.

"Kami percaya, perubahan-perubahan positif hanya akan dicapai jika negara ini ditadbir oleh gabungan parti politik yang kukuh dan berupaya untuk memperjuangkan aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.

"PBM ingin menyampaikan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada Dewan Tertinggi BN di atas kesungguhan mereka dalam membincangkan perkara ini," katanya lagi.