Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Konsulat Indonesia akan tuntut keadilan warga didakwa dihukum secara salah

Wakil kerajaan Indonesia di Tawau, Sabah sedang berbincang dengan seorang warganya untuk membuat tuntutan pampasan atas pelanggaran hak asasi manusia.

Ia selepas warga tersebut, Sabri Umar, 31, dijatuhi hukuman penjara dan hukuman sebat secara salah.

Konsul di Konsulat Indonesia di Tawau, Heni Hamidah memberitahu Malaysiakini yang pertama pihaknya akan memohon pas imigresen bagi membolehkan Sabri kekal di Malaysia untuk meneruskan pengurusan kes dibuang kerja secara tidak adil yang difailkan di Jabatan Perhubungan Perusahaan.

Hani berkata dia akan berbincang dengan Pengarah Imigresen Sabah Sharifah Sitti Saleha Habib Yusof bagi meminta lanjutan 30 hari bagi pas imigresen Sabri.

Pas 14 hari yang diberikan kepadanya pada masa ini akan tamat pada 24 Ogos.

Sementara itu, Sabri kini berada di lokasi yang tidak didedahkan di Tawau dan sedang menunggu tarikh mahkamah bagi kes dibuang kerja, yang difailkan di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967. Dia dibantu Kesatuan Pekerja Industri Balak (STIEU) bagi kes itu.

Sabri Umar

Menurut Heni, penamatan pekerjaan Sabri pada 4 April yang dibuat secara tidak adil membawa kepada rentetan peristiwa yang menyebabkannya dipenjara dan disebat secara salah.

Lelaki dari Sulawesi Selatan itu telah bekerja dengan Fu Yee Corporation, sebuah kilang papan lapis di Kalabakan, Tawau, sejak tujuh tahun lalu. Dia ditangkap sehari selepas dibuang kerja, iaitu pada 5 April.

Sabri disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 tetapi akhirnya didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, walaupun memiliki dokumen yang sah.

Mahkamah Sesyen Tawau menjatuhi hukuman penjara 11 bulan dan lima sebatan terhadapnya.

Hukuman lima sebatan dijalankan terhadapnya walaupun ketika notis rayuan difailkan di peringkat Mahkamah Tinggi untuk mengetepikan sabitan.

Sebulan selepas hukuman sebat tersebut dan empat bulan selepas dia diberhentikan kerja, Mahkamah Tinggi Tawau membebaskan Sabri pada 22 Julai.

Susulan pembebasannya, Sabri berkata dia hanya mahu menuntut keadilan.

Dia mendakwa tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan dan dibebaskan daripada tuduhan seksual, namun kini hidup dalam ketakutan kerana bimbang ditahan semula di bawah kesalahan seksual.

Penahanan salah

Beberapa pertubuhan hak buruh turut menyerahkan memorandum kepada Suhakam pada 10 Ogos lalu bagi menggesa inkuiri awam ke atas pelanggaran hak asasi yang dialami Sabri diadakan.

Dalam pada itu, Heni berkata dia juga sedang berbincang dengan STIEU yang membayangkan mereka akan mendapatkan perwakilan undang-undang untuk Sabri, yang merupakan anggota kesatuan.

"Dengan kebenarannya, mereka akan failkan saman terhadap pihak yang terlibat dalam peristiwa yang membawa kepada hukuman penjara dan sebat terhadapnya.

"Kita juga akan menimbang untuk memfailkan saman terhadap majikan," kata Heni, sambil menambah pihaknya akan memberikan segara bantuan dan sokongan yang diperlukan.

Engrit Liaw

Setiausaha STIEU Engrit Liaw mengesahkan antara pelanggaran terhadap Sabri adalah penahannya oleh polis tanpa perintah reman.

Dia berkata menurut wawancara Sabri, dia tidak dibawa ke depan majistret dalam tempoh 24 jam tangkapan atau pada bila-bila masa sebelum 19 April, ketika dia dakwa masuk ke Malaysia secara tidak sah.

Liaw berkata Sabri didakwa ditahan tanpa perintah reman selama 13 hari.

Kilang papan lapis disenarai hitam

Heni berkata konsulat telah meletakkan kilang papan lapis Fu Yee dalam senarai hitam untuk mengambil pekerja Indonesia yang baru.

Katanya, kilang itu ada rekod buruk dengan Jabatan Tenaga Kerja dengan aduan berkenaan kerja lebih masa oleh pekerja.

Gembira dengan sokongan yang diberikan kerajaan Indonesia, Sabri berkata hubungannya dengan majikan mula memburuk setelah dia menyertai STIEU.

Sabri antara 31 pekerja tempatan dan asing di kilang itu yang menuntut gaji yang tidak dibayar pada 2020.

Pemecatan salah

Liaw yang merupakan wakil kesatuan kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan berkata tiada inkuiri domestik dibuat sebelum Sabri dibuang kerja.

"Dia tidak diberi peluang membela diri dan surat penamatan kerja tidak nyatakan kesalahannya.

"Surat itu sangat kabur dengan menyatakan syarikat putuskan untuk pecat Sabri selepas 'satu insiden'.

Surat merujuk kepada insiden yang berlaku pada jam lima petang pada 1 April tetapi tidak menyatakannya secara khusus," katanya lagi.

Pengarah dan pemilik Fu Yee, Hong Rong Ching enggan memberikan maklum balas ketika dihubungi Malaysiakini.

[Baca berita asal]