Exco Kelantan terlibat kemalangan di Mesir
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan Mohd Nassuruddin Daud terlibat dalam kemalangan di Mesir, Jumaat lalu.
Pegawai khasnya Jamal Najmuddin Sulaiman berkata, kejadian berlaku ketika Mohd Nassuruddin bersama bekas Adun Pulai Chondong Zulkifli Mamat dan seorang pelajar dalam perjalanan dari lapangan terbang ke tempat penginapan dengan menaiki sebuah kereta.
"Kereta yang dinaiki mereka cuba mengelak kenderaan lain yang berhenti secara mengejut sebelum berlanggar dengan kenderaan lain dari arah bertentangan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.
Difahamkan Adun Meranti itu ke Mesir bersama rombongan beberapa pimpinan kerajaan negeri termasuk Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob.
Rombongan berkenaan dijadualkan hadir ke Seminar Peradaban Kerajaan Negeri Kelantan di Timur Tengah 2022 (Spektrum 2022) bermula hari ini hingga 16 Ogos.
Sementara itu, Jamal berkata Mohd Nassuruddin mengalami patah kaki kanan akibat kemalangan itu dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di sebuah hospital.
"Sama-samalah kita berdoa semoga beliau segera sembuh dan dapat menjalankan tugas seperti biasa," katanya lagi.
Dia berkata Mohd Nassuruddin kini menunggu prosedur ditetapkan sebelum pulang ke Kelantan.
Sementara itu Zulkifli ketika dihubungi menyifatkan kejadian itu sebagai kemalangan kecil sahaja.
"Ya terlibat (kemalangan), tetapi sikit saja. Dia (Mohd Nassuruddin) bersama ana (saya) dalam kereta," katanya ringkas ketika dihubungi melalui WhatsApp.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai