Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Keluarga gesa siasatan telus kes lelaki mati dalam tahanan di Bachok

Seorang lelaki didakwa meninggal dunia ketika dalam tahanan polis dan ahli keluarganya menggesa siasatan telus dibuat berhubung kejadian itu.

Menurut polis, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis (IPD) Bachok, Kelantan sejak 2 Ogos lalu mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(1) ADB 1952 dan 39B ADB 1951 dan pada dijangka dituduh di mahkamah pada hari ini.

Menurut sumber yang juga ahli keluarganya, pihak keluarga dihubungi pegawai polis supaya hadir ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Bachok dan dimaklumkan mangsa meninggal dunia.

Katanya, ketika hadir ke Klinik Kesihatan Bachok, jenazah didapati mengalami pendarahan di bahagian mulut dan banyak kesan lebam pada bahagian badan.

"Ketika melawatnya pada 9 Ogos lalu, dia beritahu keluarga yang dia alami sakit yang teruk akibat dipukul. Antara kesan lebam didapati di bahagian lengan kiri dan kanan, belakang badan, serta bahagian kaki dan betis.

"Kami dimaklumkan oleh pihak klinik yang dia meninggal dunia semasa dalam tahanan polis...Pegawai perubatan sahkan kesan-kesan lebam akibat terkena objek tumpul," kata sumber yang enggan dinamakan, kepada Malaysiakini hari ini.

Terdahulu keluarga lelaki itu membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

Kata sumber itu lagi, laporan dibuat agar siasatan telus dijalankan berhubung kematian ahli keluarganya itu, selain merujuk perkara itu kepada peguam untuk tindakan lanjut.

Sementara itu Pemangku Ketua Polis Kelantan DCP Muhammad Zaki Harun berkata, siasatan mendapati lelaki itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di klinik kesihatan.

Muhammad Zaki berkata mangsa sering menimbulkan masalah kepada tahanan lain dan terlibat dalam pergaduhan dengan seorang tahanan lain pada 12 Ogos lalu sebelum dipindah ke sel berasingan.

"Jenazah di bawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, untuk bedah siasat yang turut dihadiri majistret," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, kes berkenaan disiasat Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.