Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bekas bos Air Kelantan didakwa terima rasuah

Bekas pengurus besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) Ir Wan Mohd Zamri Wan Ismail, 61 didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM10,000.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan hakim Zaman Mohd Noor.

Mengikut pertuduhan dia didakwa secara menerima RM10,000 untuk diri sendiri daripada Ng Tze Wei, 44, melalui cek bertarikh 21 Januari 2015 di Maybank Kota Bharu pada 22 Januari 2015.

Tertuduh pada tarikh kejadian merupakan ketua jabatan teknikal AKSB sebelum dilantik sebagai pengurus besar syarikat air berkenaan.

Wang tersebut didakwa dikreditkan ke akaun tertuduh sebagai dorongan membantu syarikat Zog Technology Sdn Bhd dilantik sebagai subkontraktor untuk menjalankan kerja-kerja merekabentuk, membina, menyiapkan, mengujilari, mentauliah kerja-kerja mekanikal serta kerja-kerja berkaitan reka dan bina bagi Skim Bekalan Air Merbau Chondong fasa II pakej 1 Machang, Kelantan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mariah Omar, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Adha Amir Yassir Amri.

Terdahulu Mariah memohon mahkamah memohon jaminan RM15,000, penyerahan pasport dan arahan lapor diri setiap bulan kepada SPRM atau pihak polis sehingga kes selesai.

Ahmad Adha kemudian memohon mahkamah menawarkan jumlah jaminan lebih rendah memandangkan anak guamnya tidak bekerja dan menangggung dua anak yang masih belajar di universiti serta tujuh orang cucu yang tinggal bersama.

Selain itu katanya Wan Mohd Zamri juga menghidapi penyakit kronik, antaranya komplikasi buah pinggang dan masalah jantung.

Zaman kemudiannya menetapkan tertuduh boleh dijamin RM7,000 dengan seorang penjamin, pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM atau balai polis berdekatan.

Sementara itu hakim juga menetapkan tarikh 28 September depan untuk pengurusan kes dan serahan dokumen.

Sebagai rekod Wan Mohd Zamri sebelum ini direman selama tujuh hari pada 9 hingga 15 Julai tahun lalu bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan projek bernilai lebih RM27 juta.