Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

'Hisham harus dipecat jika laporan LCS tak dinyahrahsia sebelum 16 Ogos'

Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein harus dipecat jika laporan mengenai projek kapal tempur pesisir (LCS) tidak didedahkan pada 16 Ogos, kata bekas timbalan menteri pertahanan, Liew Chin Tong.

Kabinet telah mencadangkan pada 9 Ogos untuk menyahrahsia laporan yang disediakan oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan yang dipengerusikan bekas ketua audit negara, Ambrin Buang serta laporan daripada audit forensik mengenai projek LCS yang dijalankan pada 2019.

“Jika laporan itu tidak didedahkan oleh Kementerian Pertahanan pada Selasa 16 Ogos, perdana menteri harus memecat Hishammuddin kerana ingkar arahan.

"Kedua-dua laporan ini dan dokumen lain yang berkaitan harus didedahkan," kata Liew dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebooknya semalam.

Katanya, dokumen lain yang perlu didedahkan termasuk laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan berhubung projek kapal peronda generasi baharu (NGPV) yang gagal.

Ini kerana katanya Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) telah mendedahkan bahawa sebahagian daripada dana yang dibayar kerajaan untuk LCS digunakan bagi membayar hutang lapuk daripada projek NGPV.

"Perbincangan mengenai LCS tidak akan lengkap jika fakta daripada projek NGPV tidak diketahui sepenuhnya orang ramai," kata Liew.

Katanya, mereka yang bersalah tidak boleh berselindung di sebalik alasan rahsia rasmi dan keselamatan negara untuk melakukan "rasuah sebesar itu".

“Rasuah dalam perolehan aset pertahanan itu sendiri mengancam keselamatan negara.

“Peralatan pertahanan yang dibina dengan buruk disebabkan oleh rasuah melunturkan semangat tentera kita, memberi kesan buruk kepada keupayaan tempur pasukan kita dan menjejaskan keselamatan anggota kita,” katanya.

Walaupun kabinet mencadangkan untuk menyahrahsia dua laporan LCS, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata proses itu perlu mendapat nasihat peguam negara dan ketua audit negara negara terlebih dahulu.

PAC mengeluarkan laporan pada 4 Ogos yang mendedahkan kepincangan dalam isu perolehan kapal LCS.