Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Idris minta KDN bertindak terhadap wanita pakai ihram lelaki

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Idris Ahmad meminta pihak berkuasa menahan wanita yang memakai ihram lelaki ketika menunaikan ibadah umrah ditahan sebaik tiba di tanah air.

Idris berkata, pihaknya mengambil berat isu yang tular itu kerana ia melibatkan hukum agama dan perlu dikenakan tindakan tegas.

"Isu ini melibatkan hukum hakam agama. Tindakan tegas akan dikenakan.

"Pihak saya telah menghubungi Kementerian Dalam Negeri (KDN). Saya memohon pihak KDN untuk membuat siasatan lanjut setibanya individu tersebut di Malaysia nanti.

"Saya juga telah menghubungi pihak Motac (Kementerian Pelancongan) untuk memastikan jika perkara ini benar, tindakan tegas juga akan dikenakan kepada agensi yang menguruskan individu tersebut," katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Sejak semalam, tular di Twitter beberapa hantaran mengenai wanita berkenaan susulan videonya berada di tanah suci Makkah dengan lengkap berpakaian ihram seperti jemaah umrah lelaki.

Dalam satu hantaran video menunjukkan individu terbabit menuju ke Raudhah.

Seorang pengguna Twitter berkata individu berkenaan seorang wanita dan bekas pekerjanya.

Lantaran itu, beberapa tokoh agama termasuk mufti menggesa tindakan tegas diambil terhadap wanita berkenaan kerana perbuatannya yang jelas bercanggah agama.