'Isu keselamatan sosial pekerja p-hailing, e-hailing akan dibawa ke kabinet'
Jaringan keselamatan sosial bagi pekerja sektor p-hailing dan e-hailing akan dibawa kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan, kata Menteri Sumber Manusia M Saravanan.
Saravanan berkata untuk itu pihaknya akan bertemu dengan wakil kumpulan tersebut bagi mendapatkan input sebelum ia diumumkan.
“Kementerian Sumber Manusia sedang mengkaji (bentuk jaringan keselamatan sosial)…sekiranya nak tunggu akta (dan) sebagainya, akan (ambil) masa lama, saya sudah bincang dengan pemangku ketua setiausaha kementerian juga.
“Dalam seminggu dua ini kita akan buat pengumuman bagaimana mengunakan kuasa menteri KSM untuk memberikan jaringan keselamatan sosial bagi kumpulan ini,” katanya selepas pelancaran Pinjaman Latihan Kemahiran Islamik (PLK-i) dan Portal Myperkasa Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Baru-baru ini sekumpulan pekerja e-hailing dan p-hailing melakukan mogok, susulan tidak berpuas hati dengan caj penghantaran yang dipotong oleh syarikat penyedia perkhidmatan.
Mengenai PLK-i, Saravanan berkata pinjaman latihan kemahiran yang berkonsepkan patuh syariah itu yang dibuka kepada semua kaum, akan merancakkan lagi agenda pemerkasaan TVET dalam usaha negara untuk melahirkan lebih ramai pekerja mahir tempatan seiring dengan kemajuan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).
“Ini salah satu produk dari Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi mengurangkan beban pemohon, kerana mereka tidak perlu bayar faedah untuk 12 bulan pertama.
“Dalam pada itu, saya cadangkan juga kepada PTPK agar mengambil kira perubahan yang sedang dan akan berlaku, oleh kerana IR 4.0 akan bawa banyak perubahan maka PTPK perlu mengenal pasti program yang ada peluang lebih cerah, bagi mengatasi masalah ketidaksepadanan kerja dengan kelulusan yang dimiliki,” katanya.
PLK-i yang dilancarkan pada hari ini, akan berkuatkuasa 15 Ogos bagi fasa pertama.
PTPK adalah agensi di bawah KSM yang menguruskan dana Pinjaman Latihan Kemahiran yang berterusan, kepada pelatih yang mengikuti latihan kemahiran.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai