PSB idam kerusi Sibu disandang DAP
Rundingan kerusi antara parti pembangkang utama di Sarawak menemui jalan buntu apabila kerusi parlimen Sibu saling menjadi rebutan antara Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan DAP, yang memungkinkan pertandingan banyak penjuru tidak dapat dielakkan.
Presiden PSB, Wong Soon Koh mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa parti itu sedang mengintai kerusi berkenaan yang disandang oleh Oscar Ling daripada DAP selama dua penggal.
Dia mendakwa PSB mempunyai pengaruh di peringkat akar umbi yang lebih kuat di Sibu berbanding DAP dan menyatakan rasa kesal apabila parti itu enggan berkompromi.
Menurut Wong, DAP menawan beberapa kerusi majoriti Cina di kawasan bandar seperti Sibu kerana sentimen anti-Najib Razak pada pilihan raya umum lalu.
“Tak bolehkah kami bertanding di satu kerusi majoriti Cina bandar? Kami mewakili masyarakat Cina juga walaupun kami parti berbilang kaum.
"Kami sanggup melepaskan Sarikei dan Bintulu, kami hanya minta Sibu kerana kami yakin akan menang," katanya.
DAP mempunyai enam kerusi parlimen di Sarawak - Bandar Kuching, Stampin, Mas Gading, Sibu, Lanang dan Sarikei.
Selain Mas Gading, selebihnya adalah kerusi majoriti Cina bandar.
Terdapat tiga kerusi DUN di bawah Sibu iaitu Pelawan, Bawang Assan dan Nangka.
Wong yang memenangi kerusi Bawang Assan untuk penggal keenam dalam pilihan raya negeri pada November lalu, berkata PSB memiliki antara 2,000 dan 5,000 ahli di setiap kawasan di Sibu.
Sebaliknya, dia mendakwa DAP tidak mempunyai akar umbi yang tersusun di kawasan-kawasan ini.
“DAP menggunakan isu semasa untuk membangkitkan sentimen pengundi, ceramah perdana juga satu lagi platform untuk mereka menarik sokongan. Tetapi keadaan sekarang berbeza, taktik mereka tidak akan berjaya,” tambahnya.
Berikutan kedua-dua parti tidak dapat mencapai persetujuan mengenai kerusi berkenaan dalam dua mesyuarat terakhir, Wong berkata PSB mungkin terlibat dalam pertandingan pelbagai penjuru dengan DAP dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memerintah.
"Ini hanya akan menguntungkan GPS, tetapi DAP tidak pernah belajar dari sini. Saya sangat kecewa," tambahnya.
Wong akan bertanding di Sibu?
Sebagai salah seorang ahli politik paling kanan di Sibu, Wong tidak menolak untuk bertanding di kerusi itu pada PRU akan datang tetapi pada masa sama, menegaskan pentingnya untuk meletakkan muka baru.
"Kita akan menilai dan memutuskan apabila tiba masanya. Kita harap kita dapat membawa lebih ramai pemimpin baru untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya.
Setiausaha Agung PSB, George Lo juga percaya parti itu mempunyai peluang lebih baik di Sibu memandangkan DAP tidak memenangi mana-mana daripada tiga kerusi DUN di kawasan parlimen itu.
"Kami tumpu kepada kebolehmenangan, ia adalah tentang siapa yang boleh memenangi kerusi itu berbanding 'ini kerusi saya, jadi kami tidak boleh runding'," katanya kepada Malaysiakini.
Dia juga mengakui bahawa presiden PSB boleh bertanding di kerusi itu kerana dia juga adalah Adun Bawang Assan sekarang.
"Sudah tentu ada kemungkinan," jawabnya apabila ditanya sama ada Wong akan menjadi calon.
“Tetapi ini adalah sesuatu yang perlu kita bincangkan dengan lebih lanjut. Jika kita mempunyai calon lain yang lebih kuat, kita boleh pilih orang itu sebagai gantinya,” tambahnya.
Sementara itu, Wong berkata PSB juga sedang berbincang dengan empat lagi parti pembangkang di Sarawak - PBK, Aspirasi, PBDSB dan SEDAR - bagi mengelak pertandingan pelbagai penjuru.
Sarawak mempunyai 31 kerusi parlimen, di mana GPS menguasai 19 daripadanya. Empat lagi kerusi disandang oleh ahli parlimen mesra-kerajaan.
PSB memperoleh kerusi parlimen apabila bekas pemimpin PKR Baru Bian yang juga ahli parlimen Selangau, menyertai parti itu tiga bulan selepas “Langkah Sheraton” yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada 2020.
Pada masa itu, tiga ahli parlimen di Sarawak keluar dari PKR, menjadikan ahli parlimen Miri, Teo Yu Keng sebagai satu-satunya wakil daripada parti itu.
‘Pendirian kami jelas’
Enggan beralah, Setiausaha DAP Sarawak Alan Ling memberitahu Malaysiakini bahawa bekerjasama dengan PSB bergantung terhadap pendirian Wong berhubung kerusi Sibu.
“Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling menang dua kali pada pilihan raya umum 2013 dan 2018. Untuk DAP melepaskan kerusi itu adalah tidak wajar.
“Selain itu, PSB masih belum mendedahkan siapa calon mereka, bagaimana ia boleh meyakinkan? Bagaimana kita boleh bercakap mengenainya?” soal Ling.
"Pendirian kami jelas, kami akan mempertahankan kerusi parlimen di mana kami menjadi penyandang supaya kami mempuyai kedudukan yang lebih baik untuk menentang GPS. Ini adalah titik tumpuan kami," tegasnya.
Ling berkata DAP Sarawak menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya sembilan kerusi pada pilihan raya umum akan datang, sama seperti pada 2018.
Dia juga percaya pengagihan kerusi dalam kalangan parti komponen PH akan berjalan lancar.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai