Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

'LTAT banding harga LCS macam banding Proton dan Lamborghini'

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Ahmad Nazim Abdul Rahman disifatkan 'tidak profesional' kerana cuba membandingkan harga kapal tempur pesisir (LCS) yang dibeli oleh Malaysia dengan yang dibuat oleh AS.

Penganalisisi pertahanan Lam Choong Wah berkata ini bukanlah perbandingan yang adil sama sekali.

“Dia tahu bahawa (LCS) berbeza, tetapi dia masih membuat perbandingan. Dia bersikap tidak profesional.

"Dia hanya mahu menunjukkan bahawa LCS kita lebih murah daripada negara lain ... ini seperti membandingkan Proton Saga dan Lamborghini, kedua-duanya kereta tetapi sangat berbeza," kata Lam.

Pada Selasa, bos LTAT itu berhujah bahawa kontrak LCS RM9 bilion Malaysia bermaksud setiap satu daripada enam kapal yang ditempah berharga RM1.5 bilion.

"Mesir membelanjakan hampir RM1.9 bilion untuk satu kapal LCS mereka yang dibuat di Perancis.

"UAE juga belanja hampir RM1.9 bilion satu LCS.

"AS bina LCS mereka pada harga RM2.4 bilion sebiji sebab lebih canggih," katanya pada hantaran di Facebook.

Lam menjelaskan LCS buatan AS mempunyai kelajuan maksimum 74 kilometer sejam, tiga hingga empat modul misi tempur yang boleh ditukar ganti dan mempunyai keupayaan tersembunyi.

Sebaliknya, LCS yang dibeli oleh Malaysia dilaporkan antaranya mempunyai kelajuan maksimum 51 kilometer sejam dan tidak dapat menukar modul misi tempur.

"LCS Malaysia hanya mempunyai satu modul misi," katanya.

Perolehan LCS Malaysia baru-baru ini menjadi perhatian selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PSC) menerbitkan laporan yang menyorot kegagalan projek itu.

Projek LCS bermula pada 2011 apabila kontrak diberikan dan kapal pertama sepatutnya dihantar pada 2019.

Bagaimanapun, sehingga kini, kesemua enam kapal masih dalam pembinaan.

Isu lain yang dibangkitkan ialah Kementerian Pertahanan tidak mengendahkan kehendak Tentera Laut Diraja Malaysia dalam memilih reka bentuk kapal tempur pesisir berkenaan.

[Baca berita asal]