Umno Pahang tak ada bincang anak Najib jadi calon Pekan
Umno Pahang sudah sedia menghadapi sebarang kemungkinan bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang, termasuk jika Najib Razak hilang kelayakan untuk bertanding.
Ketua Penerangan Umno Pahang, Syed Ibrahim Syed Ahmad, ketika dihubungi Malaysiakini berkata, parti itu tidak berdepan dengan masalah dalam soal calon untuk diketengahkan apabila tiba masanya nanti.
Di kerusi parlimen Pekan - yang kini diwakili Najib - Syed Ibrahim berkata, ada ramai bakat yang boleh diangkat menjadi calon.
"Bukan Datuk Seri Najib seorang saja. Umno Pahang tak ada masalah dalam soal calon.
"Umno Pahang juga sudah bersiap sedia dengan segala kemungkinan," katanya hari ini.
Terdahulu Syed Ibrahim diminta Malaysiakini mengulas spekulasi mengenai salah seorang anak Najib akan menjadi calon Umno-BN di Pahang dalam PRU ke-15 yang semakin hampir.
Memetik sumber yang tidak dinamakan, Utusan Malaysia hari ini melaporkan Umno-BN akan meletakkan Mohd Nizar Najib untuk menjadi calon mereka di Pekan jika keadaan memerlukan.
Spekulasi itu bertiup ketika Najib masih dibicarakan atas pelbagai pertuduhan dengan sesetengahnya sudah disabitkan kesalahannya oleh mahkamah.
Dia sedang dalam proses merayu atas sabitan tersebut.
Mahkamah Persekutuan sudah menetapkan 10 hari mulai 15 Ogos ini untuk mendengar rayuan terakhir Najib bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara ke atasnya berhubung penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC).
Tak ada dengar lagi
Untuk rekod Mohd Nizar merupakan anak Najib Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar yang kini sudah menjadi bekas isterinya. Jika ia menjadi kenyataan ketua Pemuda Umno Pekan itu akan meneruskan legasi bekas perdana menteri kedua, Abdul Razak Hussein, di Pahang.
“Cumanya, kawasan mana yang bakal ditandingi ketua Pemuda Umno Bahagian Pekan itu difahamkan belum lagi diputuskan setakat ini,” lapor portal itu.
Syed Ibrahim berkata setakat ini pihaknya tidak mendengar sebarang khabar angin mengenai pencalonan Mohd Nizar.
Malah katanya Umno Pahang sendiri tidak membuat sebarang perbincangan mengenainya.
Bagaimanapun, pada masa sama Syed Ibrahim menjelaskan sesiapa saja boleh dicadangkan untuk diletakkan sebagai calon bagi mewakili Umno-BN pada PRU ke-15 nanti.
"Bukan anak Datuk Seri Najib saja, anak saya pun boleh, anak orang Perlis pun boleh...
"Anak siapa pun yang teringin dicadangkan boleh cadangkan, apa salahnya," katanya.
Parlimen Pekan mempunyai empat Dewan Undangan Negeri iaitu Pulau Manis, Peramu Jaya, Bebar dan Chini yang semuanya dimenangi calon BN pada PRU14 lalu.
Nizar, 44, pernah berkhidmat selama 18 tahun di firma juruaudit dan perundingan Deloitte Malaysia, sebelum dilantik sebagai ketua Biro Ekonomi dan Modal Iinsan Majlis Tindakan Sosial Pahang iaitu sebuah agensi kerajaan negeri.
Dia merupakan anak sulung daripada lima anak Najib.
Pada Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapati dia bersalah menyalahgunakan RM42 juta daripada dana SRC.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai