Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Melawan lupa: Khairuddin ajak kenang penubuhan MN

Bekas Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Mohd Khairuddin Aman Razali, hari ini mengenang semula penubuhan Muafakat Nasional (MN) yang menyatukan parti itu dengan Umno untuk seketika sebelum kedua-dua parti menjadi tidak sehaluan.

Kata Khairuddin dia menulis mengenai MN agar dapat mengingatkan mana-mana pihak yang terlupa akan kewujudan gabungan tersebut.

"Lagi beberapa hari ulang tahun Muafakat Nasional (iaitu) 15 Muharram 1441 bersamaan 14 Sept 2019. (Ia) satu muafakat yang menyatukan umat Islam dalam dua parti besar dengan bilangan penyokong 3.2 juta dan 1 juta.

"Muafakat yang menyatukan adik-beradik dan sanak-saudara yang bergaduh dan berparang di ceruk-ceruk kampung terutamanya di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

"Muafakat yang menitiskan air mata 4.2 juta orang Melayu Islam. Muafakat yang menjadikan ahli dua parti lebih matang, harmoni dan mesra dalam berpolitik melainkan oleh segelintir yang masih garang berperang dan berparang," katanya.

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata MN diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak PAS untuk diusahakan sejak 2015 lagi bukan pada 2018 selepas PRU ke-14 berakhir.

Gambar fail

Katanya, muafakat itu dibina bagi "menyatukan umat Islam dan memperkasakan Islam" di negara ini.

Tambah bekas menteri itu, 'tunas' muafakat berkenaan kemudian 'bercambah' dengan penubuhan semula Majlis Perundingan Islam (MPI) yang dipengerusikan oleh Ahmad Zahid Hamidi selaku timbalan perdana menteri ketika itu.

MPI, dakwa Khairuddin, meletakkan pimpinan PAS dan Umno pada satu platform.

Melalui badan itu katanya mursyidul am PAS ketika itu, Harun Din, dilantik menjadi pengerusi kluster dakwah, manakala Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengepalai kluster sosial.

Bekas menteri besar Perak, Zambry Abdul Kadir, pula mengetuai kluster politik dan Menteri Besar Kelantan Ahmad Yaakub, dipilih menjadi timbalannya.

"Seterusnya menyusul persidangan kali pertama di PICC Putrajaya pada 12 April 2016 yang menghimpunkan 87 orang tokoh Islam termasuk dari Umno dan PAS," katanya.

Bekas orang kuat Dewan Ulama PAS itu menambah, turut dilantik ialah beberapa lagi tokoh parti berkenaan seperti Ketua Dewan Ulamak PAS ketika itu, Mahfodz Mohamed, dan dia sendiri.

Semua gerak kerja dalam MPI, katanya, sentiasa dilaporkan dalam Mesyurat Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Untuk rekod, PAS dan Umno menterai piagam MN pada 14 Sept 2019 dengan ditandatangani Ahmad Zahid dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.