Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Subkontraktor LCS milik Boustead? Itu atas kertas saja, kata Rafizi

PKR menolak penjelasan Najib Razak berkaitan pemilikan saham syarikat subkontraktor dalam projek perolehan kapal tempur pesisir (LCS) yang gagal siap pada masanya.

Timbalan presidennya Rafizi Ramli berkata walaupun Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD) dan Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED) adalah syarikat sekutu Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), kawalan pengurusanya dipegang oleh syarikat asing.

Katanya, anak syarikat LTAT, Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) meluluskan pembelian saham 51 peratus dalam CAD pada 28 April 2010, serta selebihnya dimiliki kontraktor pertahanan Jerman Rheinmetall Air Defence AG (RAD).

“Dalam perjanjian pembelian 51% pegangan dalam CAD bertarikh 13 Ogos 2010 antara BHIC (melalui anak syarikatnya) dan RAD (melalui anak syarikatnya), BHIC bersetuju bahawa RAD yang mempunyai kawalan pengurusan ke atas CAD, walaupun CAD dimiliki secara majoriti oleh BHIC,” dakwa Rafizi.

Dia mendakwa keputusan “tidak masuk akal itu” dipersetujui oleh pengerusi lembaga pengarah BHIC ketika itu Lodin Wok Kamaruddin yang menurutnya diketahui umum rapat dengan Najib.

“Akibat dari keputusan tidak masuk akal itu, CAD hanya dimiliki oleh Boustead (dan LTAT) atas kertas sahaja,” katanya.

Lodin Wok ketika dihubungi Malaysiakini sebentar tadi berkata dia tidak ingat berkaitan perkara itu kerana sudah 12 tahun berlalu.

“Saya juga tidak mempunyai minit mesyuarat di tangan,” katanya.

Najib semalam memperincikan pemilikan saham CAD dan CED ketika membangkitkan persoalan sama ada Rafizi mahu menuduhnya berpakat untuk “songlap” dana projek LCS.

Sementara itu, kata Rafizi, antara kawalan yang dilepaskan termasuklah pelantikan ketua pegawai eksekutif (CEO) dan ketua pegawai kewangan (CFO), dua jawatan pengurusan paling penting dalam CAD. 

“Selain dari mengawal pengurusan CAD, wakil-wakil RAD juga diberi kuasa menandatangani cek dan meluluskan perbelanjaan tanpa perlu merujuk kepada wakil BHIC di dalam CAD,” katanya.

Rafizi justeru menuntut penjelasan Najib untuk mendedahkan siapa yang campur tangan sehingga kontraktor utama Boustead Naval Shipyard (BNS) melepaskan kawalan ke atas subkontraktor kepada bukan rakyat Malaysia.

‘Siapa bawa masuk RAD?’

Sementara itu, Rafizi juga mendakwa RAD hanya mempunyai kepakaran dalam sistem kawalan tembakan, bukan mengendalikan keseluruhan projek yang melibatkan komponen lain seperti sistem pengurusan pertempuran (CMS).

“Atas pengaruh dan campur tangan siapa yang membawa masuk RAD sedangkan maklumat pada ketika itu menunjukkan mereka tidak ada kepakaran sepenuhnya untuk mengendalikan projek ini?” soalnya.

Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan perolehan enam buah kapal LCS bernilai RM9 bilion  yang bermula pada 2011 tidak pernah siap walaupun RM6 bilion telah dibelanjakan.

Malah, kosnya dikatakan meningkat RM1.4 bilion susulan keputusan Kementerian Pertahanan dan BNS tidak mengendahkan pendirian tentera laut yang mahukan reka bentuk Sigma, yang lebih murah.