Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mahkamah arah sebahagian Bukit Cherakah kekal diwartakan buat masa ini

Sebahagian daripada Hutan Simpan Bukit Cherakah akan kekal diwartakan sementara menunggu cabaran undang-undang yang dikemukakan terhadap penyahwartaannya.

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membenarkan permohonan dua kumpulan alam sekitar untuk menangguhkan sementara rancangan kerajaan Selangor untuk meneruskan pemansuhan warta tersebut.

Perintah mahkamah yang dikeluarkan oleh hakim Shahnaz Sulaiman dibuat sementara menunggu perbicaraan permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 28 Sept nanti.

Persatuan Hutan Komuniti Shah Alam (SACF) dan Khazanah Alam Malaysia (Peka) sedang memohon kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi membatalkan pemansuhan pewartaan oleh kerajaan Selangor.

Penyahwartaan merujuk kepada penghapusan perlindungan undang-undang terhadap pembangunan berhubung sesuatu kawasan hutan.

Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam kedua-dua kumpulan alam sekitar terbabit, Rajesh Nagarajan, mengesahkan keputusan mahkamah tersebut.

“Ada perbicaraan diadakan hari ini berhubung permohonan semakan kehakiman Bukit Cherakah.

“Hakim membenarkan penangguhan sementara terhadap penyahwartaan Hutan Simpan Bukit Cherakah sementara menunggu 28 Sept,” kata peguam itu.

Untuk semakan kehakiman tersebut, peguam kanan persekutuan, Nur Irmawatie Daud, mewakili responden iaitu kerajaan Selangor, exconya, pengarah jabatan perhutanan negeri dan Jabatan Tanah dan Galian Petaling.

Jika mahkamah memberikan kebenaran, maka hakim akan menetapkan tarikh lain untuk mendengar merit semakan kehakiman.

Pencinta alam sekitar cuba mencabar kesahihan penyahwartaan tanah seluas 406 hektar dalam hutan simpan dan mendakwa keputusan adalah lapuk kerana dibuat 22 tahun lalu.

Mereka mendakwa adalah menyalahi undang-undang bagi kerajaan negeri untuk mengemas kini pemberitahuan warta - yang dikeluarkan pada 5 Mei tahun ini oleh jabatan perhutanan negeri - merujuk kembali kepada keputusan exco kerajaan negeri yang dibuat pada 2000.

Pada Mei lalu, tular berita mengenai kenyataan penyahwartaan seluas 406.22 hektar Hutan Simpan Bukit Cherakah di Seksyen U10, yang didakwa dilakukan tanpa proses pendengaran awam mengikut Seksyen 11 Akta Perhutanan Negeri Selangor (EAPN) 1985.

EAPN telah dipinda oleh kerajaan Selangor pada 2011.

Akhir bulan ini, Jabatan Perhutanan Selangor menjelaskan pemberitahuan warta 5 Mei untuk menyahwartakan Hutan Simpan Bukit Cherakah adalah untuk melengkapkan proses nyah senarai yang terhenti pada 2006.

Pencinta alam sekitar berhujah kerajaan negeri sepatutnya mengadakan siasatan awam mengikut Enakmen Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2011.

[Baca berita penuh]