Kumpulan hak migran gesa k'jaan berbincang isu pelarian
Kumpulan hak migran menggesa kerajaan agar meningkatkan libat urus dengan komuniti pelarian, susulan serbuan terbaru yang dibuat Jabatan Imigresen di Kajang semalam.
Bekas pengerusi Alliance Of Chin Refugees James Bawi Thang Bik dan Presiden Beyond Borders Mahi Ramakrishnan berkata walaupun kerajaan Malaysia telah mengecam junta Myanmar, pihak berkuasa terus melakukan serbuan terhadap migran dan pelarian yang ada di negara ini.
"Serbuan terbaru oleh imigresen, dengan pegawai memecahkan pintu dan memotong kunci, adalah salah guna kuasa dan tidak wajar berlaku.
"Kami melihat wanita, kanak-kanak dan lelaki yang terpaksa menjadi migran di sini ditangkap.
"Kami juga melihat media dengan kamera mereka, walaupun ia sesuatu yang mengganggu dan merendahkan maruah mereka," kata mereka dalam kenyataan bersama hari ini.
Portal Malaysia gazette semalam melaporkan Jabatan Imigresen memeriksa 425 migran dan menahan 175 warga asing tanpa dokumen dalam serbuan yang dibuat pada tengah malam di Kompleks Hentian Kajang.
Pihak berkuasa dilaporkan memecah masuk beberapa premis selepas penduduk di dalamnya tidak membenarkan mereka masuk.
Migran yang ditangkap antaranya daripada pelarian etnik Shan dari Myanmar, yang merupakan pemegang kad pelarian UNHCR.
"Penting bagi kami untuk terus memberitahu kerajaan dan imigresen bahawa memohon suaka dan merentasi sempadan untuk mencari kerja yang lebih baik bukanlah satu jenayah.
"Pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengecam tentera Myanmar, ada dalam Majlis Hak Asasi Manusia PBB dan menjuarai isu Palestin, tetapi melayan pelarian di negara kita seperti binatang," kata James dan Mahi.
Kata mereka lagi, apa yang dimahukan adalah agar kerajaan mengadakan libat urus dengan pemimpin komuniti migran dan pelarian agar dapat berbincang dan mencapai konsensus.
"Namun tanggungjawab adalah di pihak kerajaan. Ia perlu memilih antara menjadi progresif atau menindas," kata mereka.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai