Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Scammer 'LHDN' ada maklumat peribadi sasaran mereka

Scammer yang menyamar sebagai "pegawai LHDN" yang menuntut pembayaran cukai tertunggak mungkin memiliki butiran peribadi lengkap sasaran mereka, termasuk alamat rumah.

Penipuan ini turut melibatkan lebih daripada seorang individu dalam usaha mereka meyakinkan mangsa, seperti yang dinyatakan oleh pakar keselamatan Munira Mustaffa.

Dalam satu bebenang di Twitter, Munira berkata kawannya - yang menggunakan akaun @TheVenusDarling - telah dihubungi "LHDN" pada 25 Julai lalu.

"Dia terima panggilan telefon daripada 'LHDN' yang mendakwa dia ada tunggakan cukai RM50,000 menerusi sebuah syarikat yang didaftar menggunakan namanya, dikatakan di Melaka.

"Pemanggil yang merupakan seorang perempuan kedengaran agak rasmi dan malah berikan nombor rujukan.

"Pemanggil kemudian menyambungkan dia dengan seorang yang kononnya inspektor, yang mengarahkannya meletakkan telefon dan google nombor HQ sebagai 'pengesahan', dan dia kemudian menelefonnya dengan nombor yang sama," kata Munira.

Pengalaman itu bertambah mencemaskan, dengan inspektor tersebut "mengambil nota" daripada kenyataannya.

"Selepas ambil nota, dia kemudian beritahu yang dia telah periksa dan lihat ada waran tangkap kerana kad ATM miliknya (@TheVenusDarling) berkaitan dengan kegiatan penipuan dan pengubahan wang haram.

"Inspektor itu kemudian sambungkan panggilan kepada seorang 'pegawai berpangkat tinggi', yang kemudian memarahinya dan mengancam jika dia enggan bekerjasama," kata Munira yang merupakan seorang perunding keselamatan.

'Waran tangkap' lengkap

Ia tidak berakhir di situ. 'Pegawai berpangkat tinggi' itu kemudian mengarahkan kawannya untuk beralih ke tempat yang senyap dan menghantar "waran tangkap" menerusi WhatsApp.

"Waran itu kelihatan rasmi dan ada semua maklumatnya - nama penuh, nombor IC, alamat rumah, nombor telefon dan lain-lain...

"Susulan itu, dia mengarahkannya untuk muat turun satu aplikasi, kononnya aplikasi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk dia membantu 'siasatan'," kata Munira lagi.

Bagaimanapun, sebaik saja rakannya itu ingin memasukkan nombor PIN ke aplikasi tersebut, dia menyedari bahawa itu adalah satu tanda amaran dan terus menamatkan panggilan dan memadam aplikasi tersebut.

BNM perlu ambil tindakan

Bebenang itu mengundang perhatian ramai termasuk Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil.

"Bagaimana scammer dapat terus gunakan modus operandi ini?" soalnya ketika membalas ciapan Munira.

Dalam satu ciapan lain, Fahmi membangkitkan tiadanya tindakan daripada BNM dalam menangani perkara ini.

"Walaupun BNM kongsikan pesanan ini di semua platform media sosial, ia tidak tersebar secara cepat dan memadai.

"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia juga perlu cari jalan untuk sekat pautan muat naik untuk aplikasi scammer ini.

"Dan paling penting, para penipu ini perlu disumbat ke dalam penjara," katanya lagi.

[Baca berita asal]