ULASAN | Obsesi pada pakaian perempuan
ULASAN | Masyarakat kita hari ini masih tebal dengan semangat patriarkinya. Semua benda kita permasalahkan kepada perempuan.
Misalnya keruntuhan akhlak dan moral, selalu ditandai dengan generasi muda, dan selalunya berkaitan dengan seks dan mestinya perempuan akan ada sebagai objek mewakili seks.
Tetapi keruntuhan akhlak dan moral pastinya bukan tentang korupsi pak-pak menteri.
Kemudian patriarki itu dicelup pula dengan elemen agama yang kebanyakannya patriarki, membuatkan masyarakat kita makin lemas dalam kepatriarkian.
Kita mempermasalahkan apa sahaja yang perempuan buat dan pakai. Bukan sahaja pekerjaan mereka dibatasi, malahan kegiatan dan pakaian mereka turut dibatasi.
Mereka diekori dan dimatai di mana-mana. Segala tindak-tanduk mereka diiintip.
Dalam filem Syamsul Yusof, Elli Suriati hanya di-inner-kan. Tetapi di dunia Arab, burqa menjadi seragam rasmi perempuan Islam.
Di dunia Amerika, yang orang Arab Islam pergi ke sana, burkini (burqa campur bikini) mulai diperkenalkan. Bukan sahaja perempuan kena memakai serkup kepala dan semua inci tubuhnya kena ditutup untuk berjumpa Tuhannya, bahkan untuk berjalan keluar termasuk untuk bermandi-manda di pantai, itu pun harus ditutup semuanya.
Bukanlah kita mahukan perempuan Melayu-Islam berbikini di pantai-pantai, tetapi tidak perlulah dikawal serba-serbi dan segala-galanya tentang perempuan. Berikan mereka kebebasan dan ruang sepertimana lelaki juga diberikan.
Bukan sahaja perempuan yang masih hidup dikawal gerak-gerinya, bahkan perempuan yang telah meninggal dunia pun seperti arwah Adibah Noor pun masih diganggu-gugat persoalan auratnya, tentang rambutnya, tentang pelakon tersebut yang tidak memakai tudung. Ini menjadi persoalan dan keriuhan netizen ketika Adibah Noor meninggal dunia, tentang gambarnya yang dikongsikan.
Tak perlu ikut telunjuk Arab
Mari kita bayangkan sejenak jika lelaki pula yang dikenakan begitu. Ke mana-mana sahaja lelaki kena memakai tudung, tidak boleh nampak walau sehelai rambut pun, tangan pun tidak boleh nampak, baju harus longgar dan tidak ketat, tidak boleh menampakkan susuk tubuh dan tudung harus labuh, bolehkah masyarakat lelaki hidup dengan cara demikian?
Jika mengikut mazhab yang lebih keras, berhias-hias (tabarruj), berwangi-wangi pun tidak dibenarkan.
Jika tidak boleh dan tidak mampu bertahan walau sehari pun, ini membenarkan lagi hujahan feminis bahawa agama dan Tuhan itu dilihat sangat maskulin dan sangat pro lelaki.
Syukur kepada Allah swt bahawa Malaysia masih sekular, yakni tidak perlu mengikut petunjuk dan telunjuk dari Arab, iaitu perempuan kena dikurung di rumah dan baru sahaja dilepaskan untuk memandu baru-baru ini di Arab Saudi.
Di Malaysia yang sekular ini, perempuan bukan sahaja telah lama dibenarkan memandu, bahkan juga turut tiada masalah menjadi atlit sukan. Ini adalah rahmat dari sekular yang selalu kita kufuri.
Terbaru menjadi persoalan ramai apabila pesilat negara Merrywati Manuil yang memakai tudung pada penampilannya di Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 dekat Ayer Keroh bulan lalu sedangkan dirinya adalah beragama Kristian.
Merrywati yang memenangi pingat emas pada kejohanan itu bagi Kategori Solo Kreatif Wanita sekaligus memegang status juara dunia mengatakan, “walaupun tidak diwajibkan untuk memakai tudung tetapi saya lebih memilih untuk memakai tudung ketika pertandingan.
“Tudung bukan sahaja wajib untuk menurut aurat bagi wanita Melayu (maksudnya, Islam) tetapi bagi saya untuk nampak lebih sopan, kemas dan beradab semasa pertandingan.”
Jika Merrywati Manuil iaitu antara penyumbang tujuh emas skuad silat negara di kejohanan itu sudah berkata begitu, maka mengapa perlu lagi kita permasalahkan hal ini?
Tudung atau tidak bertudung adalah hak individu, tidak kira dia wanita Melayu, Islam, Kristian, Murut, Kadazan dan sesiapa sahaja. Asalkan ia kena pada tempatnya, maka biarkan sahaja.
Yang harus dicungkil keluar ialah biji mata lelaki yang menganggap apa sahaja dari perempuan itu ialah noda dan dosa.
Sebenarnya biji mata dan isi hati dan yang bersangkar dalam kepala lelaki tersebut yang maksiat.
Tudung tak semestinya penindasan
Banyak kes rogol, cabul bukan semua mangsanya berpakaian seksi, malahan cukup lengkap menutup aurat. Jadi tudung atau tidak bertudung tidak menjamin apa-apa. Mata lelaki itu yang harus dipakaikan tudung.
Dalam satu laporan di Astro Awani pada tahun 2017 menunjukkan Maria Ozawa (pelakon pornografi) paling popular di Kelantan dan Terengganu. Dalam negeri yang sudah ditutup segala-galanya ‘lubang maksiat’ termasuk pawagam, masyarakat (lelaki)nya masih lagi mencari-cari Maria Ozawa.
Sedangkan negeri Kelantan begitu tegas dan keras dalam mengawal selia kaum perempuan, dengan mempunyai Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan melalui Seksyen 5 (1), iaitu melakukan perbuatan tidak sopan termasuk cara berpakaian boleh membawa hukuman denda RM1000 atau penjara enam bulan.
Tetapi kenapa masyarakat lelakinya masih tetap mencari Maria Ozawa? Ini belum lagi dengan kegemaran ‘PU’ yang gemar mencari-cari kesalahan selebriti terutamanya selebriti perempuan.
Tudung tidak semestinya penindasan. Tudung itu jika ditinjau dalam teks agama Merrywati Manuil sendiri, bukan hanya perempuan Melayu (atau Islam) sahaja kena pakai, tetapi ini yang disebutkan dalam 1 Corinthians 11: 1-16, terutamanya pada ayat 6 yang menyebutkan
“For if the woman be not covered, let her also be shorn: but if it be a shame for a woman to be shorn or shaven, let her be covered.”
Merrywati Manuil jika terbaca ayat ini pastinya tidak mahu dibelenggu dengan ayat ini seumur hidup.
Tudung tidak semestinya penindasan. Jika tudung bererti penindasan, sudah pasti tudung pada hari ini tidak menjadi suatu industri tersendiri, yang hampir kebanyakan perempuan Melayu Islam tergila-gilakan suatu objek bernama tudung untuk disarungkan di kepala mereka dan dipakai dengan bermacam-macam cara.
Tudung sudah jadi seperti alat kosmetik. Ia hanya menjadi penindasan pada yang dipaksa atau merasakan terpaksa memakainya.
Tetapi tidak memakai tudung juga, tidak bererti tidak sopan, tidak kemas dan tidak beradab. Ini adalah suatu yang harus diperbetulkan. Asalkan tidak berbogel di tengah jalan atau di dalam pusat beli belah, cukuplah. Atau seperti disebutkan di awal, pemakaian haruslah mengikut konteks sesuatu tempat.
Pakaian juga ada kategori seksinya. Maka tidak munasabah untuk bekerja di pejabat untuk memakai pakaian seksi. Sama juga tidak munasabah untuk apa sahaja pakaian perempuan selalu menjadi permasalahan lelaki.
Dari satu sudut lain, apa yang dilakukan oleh Merrywati adalah suatu yang progresif untuk memecahkan tembok kaum dan agama iaitu seorang perempuan Murut yang tahu sejarah menjadi juara silat, iaitu warisan orang Melayu, sekaligus bertudung yang menjadi kebiasaan wanita Islam meski dia seorang perempuan Kristian.
Kata Merrywati, "Aihh jangan serius bah kita kita juga baini. Kalau orang Melayu ada Mat Kilau, saya orang Murut ada Aki Antanom," katanya merujuk kepada wira tempatan yang memimpin orang Murut untuk menentang Syarikat Borneo Utara British (SBUB) suatu masa dulu.
BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai