Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tugas saya cerdaskan ekonomi, jangan provok soalan politik - Azmin

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Mohamed Azmin Ali mengulangi pendiriannya untuk terus memberi fokus kepada usaha mencerdaskan ekonomi negara berbanding bercakap mengenai politik.

Dia berkata demikian dalam sidang media bersama Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail selepas mesyuarat jawatankuasa bersama penyelarasan industri (JBI) dengan kerajaan Pahang di Kuantan, hari ini.

Ketika ditanya mengenai sama ada penganjuran mesyuarat itu mempunyai kaitan dengan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) atau tidak, dia dan Wan Rosdy menafikan perkara itu dan memaklumkan mesyuarat itu sudah lama dirancang.

"Saya bekerja dah dua tahun dah, saya pun tak tahu bila pilihan raya umum dan kalau saudara tengok, MB (menteri besar) Pahang, setiausaha kerajaan negeri, pegawai-pegawai di Kementerian (MITI), semuanya komited dalam usaha memperkasakan ekonomi.

"Kalau kita asyik berpolitik, yang menjadi mangsa adalah rakyat, yang akan dihukum ialah rakyat dan saya kira tidak adil untuk kita menghukum rakyat dalam situasi di mana mereka memerlukan sokongan dan bantuan daripada kerajaan.

"Maka, saya di MITI memang saya jarang bicara isu politik dan saya harap saudara-saudari pun janganlah provok saya dengan soalan-soalan politik," katanya.

Semalam, Mohamed Azmin yang juga ahli majlis pimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika ditemui selepas majlis kerjasama strategik anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Makanan di Serdang, enggan mengulas lanjut selepas ditanya mengenai isu tuntutan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan namanya sebagai calon tunggal bagi jawatan terbabit.

Mengulas mengenai mesyuarat JBI itu pula, Mohamed Azmin memberitahu sebanyak tiga kertas kerja dibentangkan MITI manakala kerajaan Pahang pula membentangkan lima kertas kerja.

"Antara yang menjadi fokus ialah menyegerakan pembukaan pejabat Matrade di Pahang dan usaha bagi merancakkan pembangunan ekonomi di wilayah Pahang Barat.

"MITI sudah menyatakan kepada kerajaan Pahang mengenai tiga fokus utama kementerian bagi mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi kekal di landasan ditetapkan.

"Fokus itu ialah perdagangan dan pembangunan mampan, kelangsungan rantaian bekalan dan pembangunan tenaga mahir melalui peningkatan penggunaan teknologi dan inovasi," katanya.