Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Zahid gesa PAC 'lebih sensitif' kendali siasatan LCS

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi percaya pihak berkuasa dan kerajaan perlu memberi penjelasan lebih teliti mengenai projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) bagi menjelaskan sebarang kekeliruan orang ramai mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, Zahid turut menyatakan kebimbangan bahawa penjelasan sebegitu boleh mendedahkan rahsia pertahanan negara.

Projek LCS ialah kontrak RM9 bilion untuk mendapatkan enam kapal untuk tentera laut yang dimulakan pada 2011, tetapi tidak siap hingga hari ini.

Dalam. kenyataan di Facebook, Zahid - yang merupakan menteri pertahanan ketika perolehan LCS di peringkat awal - berkata terdapat politik 'blame game' (tuding jari) selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan kegagalan dan kelemahan dalam projek itu.

Zahid berkata reaksi orang ramai terhadap perkara itu juga menimbulkan kekeliruan kerana fakta dan kepalsuan menjadi bercampur aduk.

Justeru, presiden Umno itu berkata ada keperluan bagi kerajaan untuk memberikan perspektif yang menyeluruh.

"Asasnya apabila PH mengambil alih kerajaan dan cuba hentikan projek tersebut," katanya.

Isu lain yang memerlukan penjelasan, kata Zahid, adalah mengenai keputusan untuk menggunakan reka bentuk Sigma atau Gowind untuk LCS.

"Namun terdapat kebimbangan pencerahan kepada aspek keselamatan negara kita akan menjejaskan rahsia keselamatan negara.

"Justeru, pihak kerajaan perlu menangani isu ini dengan lebih bijaksana dan telus supaya tidak tenggelam oleh mahkamah netizen.

"Sekali lagi diseru agar PAC seharusnya lebih sensitif dalam mengendalikan keseluruhan proses siasatan, khususnya isu keselamatan negara kerana ia masih di peringkat siasatan," katanya.

Sabtu lalu, presiden Umno itu menafikan sebarang tanggungjawab dalam kegagalan itu, dan berkata projek itu diberikan selepas tempoh perkhidmatannya sebagai menteri pertahanan berakhir pada 2013.

Ini walaupun surat setuju terima dikeluarkan pada 2011, yang telah disahkan oleh perdana menteri ketika itu Najib Razak.

PAC juga telah mendedahkan bahawa Zahid pada 2011, bersetuju untuk mengguna pakai reka bentuk Gowind untuk projek LCS - bertentangan dengan hasrat tentera laut untuk menggunakan reka bentuk Sigma.

Bekas menteri pertahanan Mohamad Sabu dan bekas timbalannya Liew Chin Tong dalam satu kenyataan hari ini menggesa kerajaan menyahklasifikasi tiga dokumen penting berkaitan projek LCS.

Tiga dokumen yang dipetik Mohamad dan Liew termasuklah "Laporan JKSTUPKK berhubung Perolehan Enam Buah Second Generation Patrol Vessel (SGPV), Berkeupayaan Littoral Combatant Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia, Kementerian Pertahanan Malaysia”.

Dua dokumen lain yang digesa dinyahklasifikasi ialah laporan pengauditan forensik projek LCS dari tahun 2019 oleh Boustead Naval Shipyard (BNS) dan 10 pucuk surat yang ditulis oleh mantan Panglima Tentera Laut Laksamana Abdul Aziz Jaafar.

"Tanpa nyahklasifikasi dokumen-dokumen ini, banyak soalan akan kekal tidak terjawab," kata mereka