Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Azmin elak jawab isu calon tunggal TPM

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Azmin Ali mengelak untuk mengulas isu yang mengaitkannya sebagai calon tunggal timbalan perdana menteri yang dinamakan oleh Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Ketika ditanya berhubung perkara tersebut, Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebaliknya menekankan peranan gabungan Perikatan Nasional (PN) dalam mengukuhkan kestabilan kerajaan.

“Kerajaan hari ini adalah kerajaan gabungan bukan satu parti seperti sebelum ini, antara gabungan parti terbesar adalah kerajaan PN.

“Maka apabila saya dan rakan saya kata bahawa tanggungjawab kita memperkukuhkan kerajaan bermakna kita nak perkukuhkan gabungan sedia ada.

“Kalau kita lemah, maka kerajaan PN lemah. Adalah tanggungjawab saya pastikan kerajaan ini kuat supaya dapat tangani dua isu ini dan kita tak boleh terjebak dalam politik merugikan rakyat.

"Saya mahu politik action oriented (yang) dapat berikan khidmat kepada rakyat, pastikan kita berjaya memenuhi dua matlamat mencerdaskan ekonomi dan tangani Covid,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada majlis kerjasama strategik anjuran Kementerian Pertanuan dan Industri Makanan sempena Maha 2022 di Maeps, Serdang hari ini.

Terdahulu, pemberita meminta Azmin mengulas laporan yang mengatakan dirinya dinamakan oleh Muhyiddin sebagai calon tunggal jawatan timbalan perdana menteri.

Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa Bersatu menamakan Azmin sebagai calon tunggal TPM bagi mengisi jawatan berkenaan seperti dalam perjanjian PN.

Bagaimanapun sumber berkata, permintaan agar Azmin mengisi jawatan itu sukar dipenuhi kerajaan persekutuan.

Dalam pada itu, Azmin yang juga ketua penerangan PN menambah kerajaan hari ini perlu stabil dan adil bagi menguruskan perkara utama demi kepentingan rakyat.

“Jawapan saya mudah, saya dan rakan-rakan dalam Bersatu dan Perikatan Nasional mengambil tanggungjawab memperkukuhkan kerajaan yang ada kerana kerajaan sedia ada gabungan melibatkan komponen terbesar PN.

“Kerajaan stabil dan kuat, rakyat akan dapat manfaat dan negara kita akan makmur, Insyallah,” katanya.

Julai lalu, PN menzahirkan rasa kecewa terhadap tindakan perdana menteri, yang dilihat tidak bersungguh memenuhi terma dalam perjanjiannya dengan parti itu.

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin berkata sehubungan itu PN memutuskan untuk menghantar delegasi menemui perdana menteri bagi membincangkan pelaksanaan terma-terma perjanjian tersebut.

Antara terma perjanjian PN dengan perdana menteri ialah melantik timbalan perdana menteri dari Bersatu. Hamzah kemudian dilapor menemui perdana menteri pada 4 Ogos lalu.