Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Rafizi disaran bertanding di Johor, Nik Nazmi di Kelantan

Seorang bekas pemimpin Pemuda PKR mencadangkan Rafizi Ramli serta Nik Nazmi Nik Ahmad bertanding di kerusi strategik di luar Kuala Lumpur dan Selangor.

Kata Syed Badli Shah Syed Osman, langkah itu juga sesuai dengan kedudukan jawatan kedua-dua mereka sekarang.

Untuk Rafizi, Syed Badli Shah mencadangkan timbalan presiden PKR itu bertanding di Johor, manakala Nik Nazmi disaran dicalonkan di Kelantan.

Untuk rekod dalam penyusunan barisan kepemimpinan terkini PKR, Rafizi dipilih sebagai pengerusi parti itu untuk Johor, manakala Nik Nazmi - yang juga ahli parlimen Setiawangsa - menjadi ketua di Kelantan.

Katanya PKR kini memasuki fasa pengukuhan dengan saf kepimpinan baru mula mengorak langkah bagi mendepani pilihan raya umum (PRU).

"Strategi untuk meletakkan pemimpin muda bagi mengetuai jentera parti di negeri seperti Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu adalah strategi yang ampuh bagi menarik semula sokongan rakyat.

"Rafizi kini mengetuai negeri Johor manakala Nik Nazmi pula mengetuai Negeri Kelantan.

"Justeru saya mencadangkan supaya kedua-dua tokoh muda ini bertanding di kawasan strategik seperti di Johor dan Kelantan bagi mengembalikan keyakinan rakyat," katanya yang juga bekas naib ketua Pemuda PKR.

Terdahulu, Presiden PKR Anwar Ibrahim mengumumkan Rafizi dilantik sebagai pengerusi PKR Johor dan Wilayah Persekutuan, manakala Nik Nazmi yang memenangi jawatan naib presiden baru-baru ini mengetuai Kelantan dan Terengganu.

Dua lagi naib presiden PKR, Amirudin Shari dan Aminuddin Harun, turut diberi amanah mengetuai dua negeri.

Amirudin selaku menteri besar Selangor dilantik sebagai pengerusi Selangor dan Pahang. Aminuddin yang juga menteri besar Negeri Sembilan menggalas tugas pengerusi Negeri Sembilan dan Melaka.

Sementara itu Ketua PKR Cabang Machang Reduan Alias berkata Nik Nazmi perlu melepaskan kerusi selamatnya di Setiawangsa untuk memberi tumpuan menawan Kelantan.

"Saya mengalu-alukan pelantikan Nik Nazmi sebagai pengerusi PKR Kelantan yang baru menggantikan Suparadi Mohd Nor.

"Ini suatu keputusan yang tepat dan kena pada masanya terutama ketika persiapan parti mendepani PRU ke-15.

"Lebih lebih lagi rakyat Kelantan juga sudah bersedia membuat perubahan ekoran kegagalan kerajaan PAS menyelesaikan pelbagai isu seperti air dan pembalakan.

"Oleh demikian, saya mencadangkan kepada pimpinan tertinggi parti supaya PKR meletakkan Nik Nazmi sebagai calon bertanding di Kelantan pada PRU akan datang," katanya.