Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

'Musuh saya BN bukan GPS '- Willie perjelas sebab masuk PBB

Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin berkata dia tidak pernah bermusuh dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS), dalam usaha untuk mewajarkan keputusannya menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

“Secara asasnya, GPS adalah sangat baru dan untuk rekod, saya pernah menentang BN (dalam pilihan raya) masa lalu tetapi saya tidak pernah melawan GPS.

“Ini adalah sesuatu yang kita mesti fahami,” kata Willie (gambar, judul) menurut Borneo Post.

BN Sarawak telah dibubarkan pada 12 Jun 2018. Empat bekas parti komponen itu kemudian membentuk GPS.

Pilihan raya negeri sulung dihadapi GPS pada 18 Dis tahun lepas, yang menyaksikan mereka menang besar.

Willie berkata dia bersyukur kerana Presiden PBB Abang Johari Openg dan parti itu menerima keanggotaannya.

Pada 2018, Willie memenangi kerusi Puncak Borneo sebagai ahli PKR. Dia berpaling tadah kepada Bersatu pada 2020 dan memohon masuk PBB tahun ini.

Willie mendakwa keputusannya untuk menukar sokongan telah diambil selepas berunding dengan penyokong dan pengundinya.

“Sebenarnya, saya ada meminta pendapat daripada penyokong saya dan seperti yang anda lihat, semasa kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada 2020, saya sampai ke tahap menyiarkan di Facebook untuk mendapatkan pendapat mereka dan (untuk mereka) menghubungi saya secara peribadi.

"Begitu juga, saya melakukan perkara yang sama sebelum saya mengemukakan permohonan untuk menyertai PBB.

"Saya harap mereka akan menyokong saya. Saya percaya dalam membuat keputusan kolektif dan saya telah meminta pendapat mereka.

"Jadi, ini bukan pendapat saya sahaja tetapi sebahagian daripada kehendak pengundi saya. “Saya hanya tunaikan kehendak mereka seperti yang kami bincangkan," katanya.

Premier Sarawak Abang Johari Openg.

Malaysiakini tidak boleh mengesahkan secara bebas kesahihan dakwaan Willie bahawa dia telah berunding dengan pengundinya.

Bagaimanapun, katanya, tiada jaminan PBB akan meletakkan dia mempertahankan kerusi Puncak Borneo pada pilihan raya umum akan datang.

"Kita serahkan kepada kebijaksanaan premier (Abang Johari). Cuma kita perlu bekerja keras untuk berkhidmat kepada rakyat dan jika mereka percaya kami boleh teruskan (berkhidmat), maka terpulanglah kepada kepimpinan parti dan kebijaksanaan premier untuk membuat keputusan," kata Willie.

[Baca berita asal]