Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Hadi, PAS patut ‘kawan’ dengan Umno, bukan Bersatu - Khairuddin

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Khairuddin Aman Razali yakin dirinya betul apabila mendakwa Presiden PAS Abdul Hadi Awang silap apabila membuat keputusan meletakkan kerjasama dengan Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin.

Katanya, PAS sepatutnya menjalinkan kerjasama dengan Umno, bukan Bersatu yang disifatkan sebagai ‘parti kecil’ dan hanya bergantung kekuatan orang lain.

“Strategi yang digunakan sekarang ini ialah meletakkan Bersatu sebagai tonggak untuk dibuat muafakat (Muafakat Nasional) sedangkan yang sepatutnya dengan Umno.

“Saya yakin sekiranya presiden PAS mempertahankan hubungan dengan Umno, Bersatu pasti menurut kerana Bersatu parti kecil, dia bergantung kepada PAS.

“Itu hak tok guru (Hadi) sebagai presiden, saya berbeza dengan beliau dan dalam bab ini saya yakin bahawa strateginya tidak menguntungkan PAS,” katanya yang dipetik portal FMT.

Malah, kata bekas pemimpin PAS itu berkata, Hadi sepatutnya memanfaatkan kejayaan memperbaiki hubungan dengan Umno bagi membentuk gabungan lebih kuat.

“Bersatu parti kecil, dia bergantung kepada PAS, (sepatutnya) PAS menentukan. Pertembungan lama yang panjang dengan Umno bukan dengan Bersatu.

“Bila kita berjaya redakan dengan MN (Muafakat Nasional) ia mesti disambung, peluang dengan Umno bukan Bersatu.

“Tetapi itu pandangan saya, mungkin saya salah sebab saya seorang (berani bersuara), barangkali tok guru betul. Tetapi saya yakin saya betul,” katanya.

Khairuddin meninggalkan PAS pada 14 Mac susulan pemecatannya sebagai setiausaha Majlis Syura Ulama PAS dan Ahli Jawatankuasa (AJK) pusat.

FMT turut memetik bekas menteri perusahaan, perladangan dan komoditi itu sebagai berkata, ada pemimpin parti turut menyuarakan sentimen sama berhubung kerjasama PAS dengan Bersatu, namun ramai memilih untuk bercakap ‘di belakang’ sahaja.

“Ada lagi lantang tetapi saya tak nak sebut nama, tetapi boleh lihat sendiri siapa yang bercakap dan ramai lagi bercakap…tetapi itu normal dalam parti.

“Mereka bercakap sebagai ahli parti secara dalaman dan bila buat keputusan mereka akur dengan keputusan parti, bila parti nak kepada Bersatu itu hak parti. Saya tak setuju, saya keluar dengan baik. Itu sahaja,” katanya.