Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Azmin calon tunggal Bersatu jawatan TPM, dakwa sumber

Bersatu yang menuntut jawatan timbalan perdana menteri dikatakan telah mencalonkan nama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali bagi jawatan itu.

Menurut sumber dalaman parti itu, Azmin merupakan calon tunggal yang dikemukakan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin bagi mengisi jawatan berkenaan seperti mana perjanjian.

Bagaimanapun sumber berkata, pemilihan Azmin bagi jawatan itu sukar untuk diterima Putrajaya.

"Bersatu telah menamakan Azmin sebagai calon timbalan perdana menteri seperti mana perjanjian dengan perdana menteri sebelum ini bagi jawatan berkenaan.

Gambar fail, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin.

"Hanya Azmin calon tunggal yang dicadangkan Bersatu untuk jawatan itu. Saya difahamkan presiden (Muhyiddin) telah memaklumkannya kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

"Namun, ia masih menemui jalan buntu apabila kita masih gagal bertemu perdana menteri," katanya kepada Malaysiakini.

Julai lalu, Perikatan Nasional (PN) menzahirkan rasa kecewa terhadap tindakan perdana menteri, yang dilihat tidak bersungguh memenuhi terma dalam perjanjiannya dengan parti itu.

Setiausaha Agungnya, Hamzah Zainudin pula berkata sehubungan itu PN memutuskan untuk menghantar delegasi menemui perdana menteri bagi membincangkan pelaksanaan terma-terma perjanjian tersebut dalam masa yang terdekat.

Antara terma perjanjian PN dengan perdana menteri ialah melantik timbalan perdana menteri dari Bersatu.

Semalam, perdana menteri dilaporkan yang dia telah bertemu Hamzah dan Bendahari PN, Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dalam pada itu, sumber berkata pemilihan Azmin sebagai calon timbalan perdana menteri sukar untuk diterima Ismail Sabri.

"Saya difahamkan sukar untuk Ismail Sabri menerima nama Azmin sebagai calon timbalan perdana menteri. Jika dia melantik Azmin, Umno akan marah.

"Ahli dan pemimpin Umno menolak Azmin, jadi kesannya cukup besar jika perdana menteri menerima nama Azmin," katanya lagi.