Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Krisis pelarian datang lagi ke Eropah

ULASAN | Jika pada 2015 gambar anak Syria, Alan Kurdi, yang kaku terdampar di tepi laut ketika cuba menyeberangi Laut Mediterranean bersama keluarganya menjadi perhatian dunia, hari ini wajah kanak-kanak Ukraine pula menangkap berita dunia.

Hal itu kerana setelah perang Rusia-Ukraine memasuki bulan kelima, sebanyak 10 juta rakyat Ukraine menjadi pelarian. Ia jumlah yang sangat besar berbanding sekitar enam juta pelarian Syria untuk tempoh peperangan sekitar 10 tahun.

Setelah 70 tahun diwujudkan undang-undang antarabangsa mengenai status pelarian iaitu Refurgees Convention 1951 yang pada awalnya untuk menangani kebanjiran pelarian di Eropah, hari ini benua tersebut kembali menerima jumlah pelarian yang besar seumpama ketika Perang Dunia Kedua.

Poland menjadi negara penerima terbesar dengan hampir 5 juta pelarian Ukraine, diikuti Russia (1.8 juta), Hungary (1 juta), Moldova, Slovakia dan Romania masing-masing sekitar 500,000 hingga 800,000. Balarus pula sebanyak 16,000 orang.

Perang Dunia Kedua (WWII) dulu seramai 10 juta pelarian wujud akibat perang antara 1939 hingga 1945), hari ini dalam tempoh hanya lima bulan krisis Ukraine menghasilkan pelarian pada kadar yang sama.

Apa akan jadi jika perang Rusia-Ukraine berlarutan selama setahun? Boleh jadi jumlah pelarian meningkat kepada 20 juta orang, atau bersamaan dengan hampir 50 peratus penduduk Ukraine.

Ia membentuk krisis baru kepada Eropah yang selama ini menjuarai isu-isu pelarian. Sejak Perang Dunia Pertama (WWI), Eropah berhadapan kebanjiran pelarian dari Rusia dan Armenia yang dianggarkan sekitar 2 juta orang.

Impak sosioekonomi, politik

Kemudian ekoran penubuhan rejim Nazi di Jerman, Fascist di Itali dan perang sivil di Sepanyol menambah jumlah pelarian di benua itu.

Menjelang berakhirnya WWII pada 1945, dianggarkan 10 juta orang menjadi pelarian dan 40 hingga 65 juta manusia hilang tempat tinggal di Eropah akibat daripada peperangan tersebut.

Isu itu dianggap selesai setelah wujudnya Convention Relating to the Status of the Refugees 1951 yang memandu negara-negara Eropah - pada awalnya - dan kemudian negara-negara lain selepas 1967 untuk mendefinisikan makna pelarian dan hak-hak mereka.

Sebanyak 146 negara meratifikasi konvensyen tersebut pada 2020.

Namun setelah 70 tahun berlalu, tidak mudah untuk negara-negara Barat menerima pelarian dalam jumlah yang besar. Ini kerana ia bersangkutan dengan impak sosioekonomi yang akan dialami oleh mereka.

Bahkan impak politik juga, yang menjadi kebimbangan kepada rejim-rejim yang berkuasa.

Hal ini dialami oleh Turkiye apabila negara itu menerima pelarian Syria dalam jumlah yang besar - iaitu melebihi empat juta orang. Walaupun ia menjadi tanggungjawab kepada negara yang meratifikasi Refugees Convention untuk memberi perlindungan, tetapi mereka kelihatan lebih berhati-hati memikirkan impak yang bakal dihadapi.

Turkiye bukan sahaja terpaksa membelanjakan sekitar AS$4 bilion dollar setahun untuk pelarian Syria, tetapi juga berdepan dengan tentangan sebahagian besar daripada rakyat sendiri.

Hal ini dapat dilihat apabila parti pemerintah Turkiye, AKP, kalah dalam beberapa pilihan raya parlimen dan kerajaan tempatan sejak 2015 di kawasan yang dihuni ramai pelarian.

Ia termasuklah di Istanbul yang sepatutnya menjadi kubu kuat AKP.

Daripada sudut ekonomi pula, negara penerima perlu memberikan hak-hak untuk bekerja dan menjalankan perniagaan kepada pelarian. Pengalaman Turkiye, daripada 2.1 juta pelarian dewasa yang layak bekerja, hanya 680,000 sahaja memilih untuk bekerja.

Itupun hanya 28,000 sahaja bekerja secara formal manakala bakinya bekerja secara tidak formal.

Peluang untuk membuka perniagaan pula menyebabkan 10,000 syarikat milik pelarian Syria ditubuhkan di Turkiye. Namun majoriti syarikat itu berorentasikan eksport dan tidak memberikan impak kepada pasaran tempatan.

Daripada jumlah tersebut, lebih 70 peratus pemilik syarikat terbabit sememangnya sudah mempunyai perniagaan di negara mereka dan mengalihkan perniagaan ke Turkiye selepas perang melanda.

Bahkan sekitar 10 peratus daripada mereka sudah memiliki perniagaan di luar negara seperti di Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Mesir. Hal ini tidak memberi impak ekonomi kepada tempatan, bahkan keupayaan pelarian yang diberi peluang untuk berdikari dan membina hidup baru mereka juga tidak kesampaian.

Oleh itu kerajaan terpaksa menanggung kos hidup pelarian untuk tempoh masa yang lama dan seolah-olah tidak berkesudahan.

Disebabkan itulah Presiden Recep Tayyip Erdogan aktif dalam dialog Astana yang asalnya dipelopori oleh Kazakhtan dan melibatkan Turkiye, Iran dan Rusia bagi mencari jalan keluar kepada krisis di Syria.

Kesan perang

Mutakhir, dialog tiga presiden melibatkan Vladimir Putin (Rusia), Ebrahim Raisi (Iran) dan Erdogan diadakan di Tehran pada 22 Julai lalu. Antara lain ia dibuat bagi mencari jalan menstabilkan kawasan utara dan timur Syria bagi membolehkan pelarian pulang ke tanah air mereka.

Hanya dengan berakhirnya perang dan terbinanya kestabilan, barulah boleh diselesaikan isu pelarian tersebut.

Dalam konteks Ukraine, walaupun ia merupakan negara terbesar di Eropah selepas Russia dan antara pengeluar utama makanan dunia, tetapi masih dikategorikan sebagai negara termiskin di rantau tersebut berdasarkan per kapika keluaran negara kasarnya yang hanya AS$3,727.

Malah tujuh negara utama yang menerima pelarian Ukraine itu juga bukanlah berada dalam kategori negara maju atau kukuh ekonominya. Lebih memburukkan keadaan, sebahagian besar daripada negara tersebut turut menerima kesan secara langsung akibat kenaikan harga barang, makanan dan gas yang kebanyakannya di import dari Ukraine dan Rusia.

Kenaikan itu berpunca daripada kesan perang yang menyebabkan pengeluaran pertanian merosot, selain pelbagai halangan logistik akibat sekatan ekonomi yang dikenakan.

Jika perang Rusia-Ukraine tidak dihentikan dalam tempoh setahun, maka bukan sekadar tujuh buah negara akan terpaksa menerima pelarian, bahkan majoriti negara di Eropah - khususnya Eropah Barat yang lebih maju - bakal terkena tempias limpahan pelarian perang berkenaan.

Kesannya tidak kecil dan boleh mengubah demografi sesebuah negara jika ia diterima mengikut persetujuan yang ditandatangani melalui Refugees Convention 1951.

Kesimpulannya, ada dua perkara yang perlu diberi perhatian.

Pertama, sesiapa sahaja yang menjadi pelarian - sama ada Arab atau Eropah, Muslim atau bukan Muslim - mereka adalah manusia dan perlu mendapat simpati dan pembelaan.

Bayangkan jika ia berlaku kepada kita: hilang tempat tinggal, tiada pekerjaan dan keluarga, terpaksa melintasi sempadan negara untuk mendapat simpati di negara jiran, ia amat melelah dan menyulitkan.

Kedua, negara-negara Barat khususnya yang selama ini membawa perang proksi di Asia dan Afrika seperti di Iraq, Afghanistan, Yaman, Sudan dan Libya, hari ini merasai sendiri peritnya kesan buruk perang yang bukan sahaja dialami oleh rakyat Ukraine, tetapi dirasai sama oleh negara-negara di rantau tersebut.

Maka menghentikan perang adalah satu-satunya jalan keluar kepada krisis pelarian ini agar mereka dapat pulang ke negara asal. Begitu jugalah hal yang sama perlu dilakukan di negara-negara lain.


MOHD NASAIE ISMAIL ialah mahasiswa sarjana hubungan antarabangsa dan diplomasi UiTM Shah Alam.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.