RUU antilompat: Umno mungkin pinda perlembagaan sekali lagi
Umno tidak menolak kemungkinan akan meminda perlembagaan parti sekali lagi bagi memastikan ia selaras dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkenaan lompat parti yang diluluskan minggu lepas.
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan berkata bagaimanapun parti itu akan merujuk kepada penasihat undang-undang Umno terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan berkenaan pindaan itu.
“Kita akan berbincang dengan penasihat undang-undang Umno apakah Perlembagaan parti, fasal dan perkara yang perlu dipinda selaras dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan itu.
“Dengan kata lain, pindaan Perlembagaan Umno kemungkinan akan dibuat sekali lagi, tetapi akan dapatkan nasihat penasihat undang-undang Umno,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno malam tadi.
Pemilihan tak lewat dari 6 bulan lepas PRU15
Sebelum ini Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti diluluskan selepas mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli dewan.
Selain itu, Ahmad berkata mesyuarat yang dipengerusikan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menetapkan tiada pemilihan jawatan di semua peringkat pada Perhimpunan Agung Umno kali ini termasuk pada persidangan cawangan dan mesyuarat perwakilan bahagian.
Katanya mesyuarat turut menetapkan tarikh Perhimpunan Agung Umno pada 23 hingga 26 Nov, persidangan cawangan pada 15 Ogos hingga 18 Sept, mesyuarat perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian pada 7,8 dan 9 Okt serta mesyuarat perwakilan bahagian pada 14,15 dan 16 Okt.
Sementara itu, Ahmad berkata MT Umno merakamkan ucapan terima kasih atas kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dengan sedikit pindaan terhadap Perlembagaan Umno yang berkuat kuasa mulai 29 Julai ini.
“Sedikit pindaan itu melibatkan ditiadakan pemilihan (dalam tempoh) 18 bulan dan ditambah satu pemilihan pada setiap penggal Pilihan Raya Umum (PRU) berkuat kuasa 29 Julai.
“Kita dah buat pemilihan selepas PRU14 jadi pemilihan seterusnya adalah selepas PRU15.
“(Pemilihan) tidak lewat dari enam bulan selepas PRU15,” katanya dan menambah perkara itu merupakan sesuatu yang diharapkan parti bagi memastikan keadaan dalaman parti adalah tenteram.
Mesyuarat turut menetapkan negeri-negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional hendaklah melakukan langkah untuk meminda undang-undang tubuh atau enakmen negeri masing-masing setelah pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan larangan lompat parti selesai digazetkan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai