Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Anwar desak kerajaan tak lanjutkan fasa projek LCS

Pembangkang hari ini menggesa kerajaan memberi tumpuan kepada usaha menyiapkan kapal tempur pesisir (LCS) fasa sedia ada dan menamatkan fasa seterusnya.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata projek berkenaan menelan belanja yang sangat besar, justeru peruntukan untuk fasa berikutnya boleh dikembalikan kepada rakyat.

Dana tersebut, katanya, dapat dimanfaatkan untuk menangani isu kos sara hidup orang ramai, ataupun meningkatkan kebajikan veteran tentera yang turut tertekan dengan keadaan semasa.

"Sekarang ini apabila kita tanya kerajaan, (kerajaan jawab) tak ada wang.

"Tapi wang yang sebanyak ni (terlibat projek LCS) bukan saja melibatkan ketirisan, kebocoran, malah saya juga percaya ada unsur rasuah," katanya dalam sidang media pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat kali ini.

Oleh sebab itu pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menuntut agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menjalankan siasatan.

Anggota PAC bersama laporan dapatan mengenai projek LCS

Kata Anwar orang ramai tidak mahu ia dilengah-lengahkan dan kemudianya dilupakan.

Semalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan laporan mengejutkan ramai apabila pelbagai kepincangan dikesan dalam projek pembinaan LCS untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Antaranya, kata PAC, Kementerian Pertahanan dan syarikat pembina, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) tidak mengendahkan pun pandangan TLDM sendiri walaupun pasukan keselamatan terbabit adalah pengguna akhir kelengkapan keselamatan yang dimaksudkan.

Sangat yakin ada rasuah

Menurut PAC itu adalah antara sebab berlakunya lebihan kos berjumlah RM1.4 bilion dalam kontrak RM9 bilion yang dianugerahkan kepada BNS pada 2021.

Laporan itu menyebut pada asalnya, reka bentuk kapal jenis Sigma pilihan TLDM dipersetujui pada Mei 2011 oleh menteri pertahanan tetapi dua bulan kemudian keputusan itu berubah kepada reka bentuk kapal jenis Gowindiaitu pengeluar kapal selam Scorpene Perancis.

Sebagai rekod, menteri pertahanan ketika itu ialah Ahmad Zahid Hamidi. Presiden Umno itu mengetuai kementerian terbabit antara 2009 sehingga 2013.

Ahmad Zahid Hamidi

Kata PAC keputusan menukar kepada reka bentuk itu dibuat pada 11 Julai 2011 ekoran cadangan dibawa BNS kepada Ahmad Zahid pada 8 Julai tahun tersebut.

PAC turut memetik kenyataan Panglima TLDM, Abdul Aziz Jaafar, yang menganggap keputusan berkenaan sebagai "something is gravely wrong".

Anwar berkata siasatan perlu dijalankan termasuk melibatkan pihak di kedudukan atasan kementerian ketika itu, dan bukannya terhad kepada pegawai bawahan.

Hal itu kerana, katanya, sesuatu ketetapan mengenai hal itu hanya diputuskan oleh seorang menteri.

Anwar yang juga presiden PKR menegaskan, dia yakin dalam isu tersebut ia bukan saja melibatkan ketirisan malah wujud penyelewengan

"Saya sangat yakin berlaku rasuah yang berleluasa dan SPRM mesti tampil menyiasat menteri, ketua setiausaha kementerian dan pihak atasan di Kementerian Pertahanan," katanya.