Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menteri: Subsidi ayam dan telur kepada penternak tamat 31 Ogos

  • Nota editor: Laporan ini telah dikemas kini selepas pembetulan yang dikeluarkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee memaklumkan subsidi ayam dan telur kepada penternak, yang diberikan bermula 5 Februari lalu, dijadualkan berakhir 31 Ogos ini.

Ronald berkata, setakat 29 Julai lalu, sebanyak 8,970 permohonan subsidi melibatkan peruntukan RM748 juta telah diluluskan.

Dia berkata demikian ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Dia menjawab soalan oleh Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi yang bertanya tentang kerugian yang ditanggung industri penternakan ayam sejak larangan eksport dikenakan bermula 1 Jun lalu.

Menjawab soalan itu, Ronald memberi jaminan larangan eksport itu hanya langkah sementara sehingga harga dan pengeluaran ayam stabil.

Memahami larangan itu akan mengurangkan keuntungan penternak, dia berkata pemberian subsidi kerajaan dapat meringankan beban industri dalam menanggung kos seperti baja dan dedak yang meningkat.

Sebelum itu, ketika menjawab soalan Wong, Ronald tersilap mengatakan larangan eksport ayam akan berakhir 31 Ogos ini.

Kementeriannya kemudian mengeluarkan kenyataan pembetulan, bahawa subsidi yang dijadual berakhir pada tarikh tersebut.

Wong turut mengkritik larangan eksport itu yang menurutnya menyebabkan negara seperti Singapura - yang sangat bergantung kepada eksport ayam dari Malaysia - untuk mempelbagaikan rantaian bekalan makannnya dan mengimport ayam dari negara lain.

"Kita telah hilang satu pasaran. Jadi sama ada kita akan buka semula atau benarkan eksport semula, kita telah hilang satu pelanggan.

"Maafkan saya, menteri. Itu keputusan salah. Kita telah buat langkah yang salah," katanya.

Pada 1 Ogos lalu, Ronald memberitahu Parlimen yang negara kini berdepan sedikit lebihan bekalan ayam.

Dia berkata pengeluaran ayam pada masa ini adalah sebanyak 106 peratus daripada keperluan negara, bermakna ada kapasiti untuk kembali mengeksportnya.

Lebihan bekalan itu, katanya lagi, juga telah menyebabkan harga ayam di pasaran lebih rendah berbanding harga siling yang ditetapkan kerajaan.

Malaysia yang mengeksport ayam terutama kepada Singapura dan Thailand menghentikan eksport pada Jun lalu.

Larangan itu sehinggalah pengeluaran dan harga kembali stabil, ekoran kekurangan bekalan makanan ayam global telah menggangu pengeluaran.