Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerajaan tubuh panel penasihat teliti pengampunan bekas tentera

PARLIMEN | Kementerian Pertahanan menubuhkan suatu badan bagi mempertimbang permohonan bekas tentera tertentu untuk didaftarkan sebagai veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata penubuhan Panel Penasihat Pengiktirafan Veteran ATM itu merupakan penghargaan kepada bekas perajurit yang pernah berjuang untuk mempertahankan keamanan tanah air.

"Mengenai pengampunan untuk bekas tentera yang diberhentikan atas sebab tatatertib, Panel Penasihat Pengiktirafan Veteran ATM ditubuhkan bagi mempertimbang permohonan mereka untuk didaftarkan sebagai veteran ATM.

"Sebaik permohonan bekas tentera ini didaftarkan sebagai veteran ATM diluluskan, mereka layak menikmati pelbagai faedah serta manfaat seperti veteran yang lain," katanya dalam jawapan secara lisan di parlimen.

Terdahulu Hishammuddin menjawab soalan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa).

Dalam soalannya Nik Nazmi meminta menteri pertahanan menyatakan apakah tindakan susulan diambil kerajaan bagi menangani tuntutan yang dibuat oleh veteran ATM.

Untuk rekod, pada 6 Jun lalu kira-kira 1,500 pesara tentera dari seluruh negara berkumpul di kawasan Tugu Negara bagi menyuarakan beberapa isu, terutama berkaitan kebajikan mereka.

Antara tuntutan yang dibangkitkan ialah agar pencen tentera yang bersara sebelum 2013 diselaraskan, serta hak untuk menerima pencen setelah sekurang-kurangnya 10 tahun berkhidmat.

Selain isu kebajikan, himpunan itu turut menggesa diwujudkan lembaga pengampunan di bawah mahkamah tentera bagi meneliti isu bekas tentera yang diberhentikan kerana disiplin.