Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bapa yang campak anak dari jejambat alami kemurungan

Seorang bapa yang mencampak tiga anaknya dari sebuah jejambat di Kepong sebelum terjun hingga mati semalam dikatakan mengalami kemurungan sejak tahun lalu.

Menurut polis dan aktivis kumpulan pelarian, lelaki berusia 38 tahun itu pernah melakukan kerja-kerja pendawaian elektrik sejak dia tiba di Malaysia dari Myanmar kira-kira 10 tahun lalu.

Bagaimanapun, dia mula menganggur semasa wabak Covid-19 melanda negara pada awal 2020, yang seterusnya membawa kepada pelbagai sekatan perjalanan dan kemelesetan ekonomi.

Keadaan menjadi lebih teruk apabila lelaki itu dijangkiti coronavirus tahun lalu.

“Bapa itu mengalami masalah mental kira-kira setahun lalu selepas dijangkiti Covid-19.

“Ibu mereka datang ke balai polis untuk memberi keterangan petang semalam,” kata ketua polis Sentul Beh Eng Lai kepada Malaysiakini hari ini.

Faktor-faktor yang menyumbang seseorang membunuh diri lazimnya adalah kompleks, dan masalah kesihatan mental tidak semestinya membawa kepada keadaan itu.

Walaupun masalah kesihatan awam yang serius, bunuh diri boleh dicegah dengan campur tangan yang tepat pada masanya, berasaskan bukti dan selalu kosnya rendah, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Difahamkan lelaki itu bertemu isterinya, 28, selepas kedua-dua mereka melarikan diri dari negara asal untuk mencari perlindungan di Malaysia. Mereka mempunyai dua anak lelaki berusia empat dan enam tahun, dan seorang anak perempuan berusia lapan tahun.

Anak bongsu itu masih menerima rawatan di unit rawatan rapi Hospital Selayang akibat kecederaan termasuk patah kaki dalam kejadian 5.50 pagi di lebuh raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), semalam. Dua adik-beradiknya dan bapanya meninggal dunia di tempat kejadian.

Aktivis Alliance of Chin Refugees Ai John memberitahu Malaysiakini bahawa lelaki itu berdepan pelbagai tekanan kerana ketidakupayaannya untuk mencari pekerjaan dan kegagalan untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri daripada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk anak bongsunya.

Ini kerana kanak-kanak berusia empat tahun itu dikatakan dilahirkan di rumah mereka di Prima Kepong dan tidak mempunyai sijil kelahiran.

"Selepas bapanya dijangkiti Covid-19, dia mula menunjukkan tanda-tanda penyakit mental. Ada kalanya, dia akan duduk bersendirian di rumah dan tidak bercakap dengan sesiapa sepanjang hari. Ada masanya dia menangis atau ketawa sendirian.

“Menurut isterinya, dia sebelum ini pernah bertanyakan sama ada dia mampu menjaga anak-anak mereka sekiranya dia meninggal dunia,” kata John yang membantu ibunya menangani pihak berkuasa susulan kejadian itu.

Si ibu bekerja sebagai pembantu di sebuah restoran berhampiran rumah mereka di Kepong untuk menyara hidup.

Sudah menjadi rutin harian ayah dan anak-anak untuk menjemput ibu mereka selepas bekerja pada pukul 10 malam. Bagaimanapun, pada malam kejadian, mereka tidak muncul.

John berkata ibunya berjalan pulang seorang diri dan mendapati keluarganya tiada di rumah. Dia menghubungi suaminya dan mencari mereka di sekitar kawasan kejiranan tetapi tidak berjaya.

“Kira-kira jam 5 pagi, dia menerima panggilan daripada suaminya yang mengatakan mereka tidak dapat bersama lagi dan akan bertemu di akhirat.

"Selepas itu, dia tidak dapat dihubungi lagi," tambah aktivis itu.

Isteri itu hanya mengetahui mengenai kejadian itu kemudian selepas seorang anggota masyarakat Chin di Kepong membacanya dalam berita, yang mendorong mereka untuk memeriksa dengan balai polis Kepong.

Polis mengklasifikasikan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Malaysiakini juga telah menghubungi UNHCR Malaysia untuk mendapatkan ulasan.

Jika anda berasa tertekan atau ingin membunuh diri, atau mengenali seseorang, sila hubungi talian hotline berikut:

Talian Kasih

Talian Utama: 15999

The Befrienders

Hotline: 03-76272929

Pusat Kaunseling Agape Malaysia

Talian Penting: 03-77855955 atau 03-77810800

Persatuan Talian Hidup Malaysia

Hotline: 03-42657995

Kementerian Kesihatan dan Mercy Malaysia juga menyediakan talian sokongan psiko-sosial untuk pekerja barisan hadapan dan lain-lain yang terjejas secara emosi akibat wabak Covid-19.

Mereka boleh dihubungi di 014-3223392, 011-63996482, 011-63994236 atau 03-29359935, dari jam 8 pagi hingga 5 petang.