Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Banjir kilat: MBJB ambil tindakan segera

Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah mengambil tindakan segera selain tindakan jangka pendek dan panjang dalam menangani isu banjir kilat di bandar raya ini.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata kejadian hujan lebat semalam dengan kadar intensiti hampir 100 milimeter (mm) bermula pukul 1.40 petang, serta air pasang tinggi dengan ketinggian 3.3 meter pada pukul 1.55 petang menyebabkan beberapa lokasi di pusat bandar raya Johor Bahru terjejas akibat banjir kilat.

Dalam kenyataan semalam beliau berkata berdasarkan kategori bacaan tahap intensiti air hujan, kadar melebihi 60 mm adalah di dalam kategori sangat lebat atau ‘tahap merah’.

Menurutnya susulan jangkaan air pasang tinggi, pintu Air Sungai Segget telah ditutup bermula pukul 10.51 pagi iaitu tiga jam sebelum paras air pasang tinggi, manakala sistem pam dan 'tidal valve' di muara Sungai Chat, Parit Utama Abdul Samad dan Sungai Ayer Molek telah berfungsi dengan baik semasa kejadian.

"MBJB telah melaksanakan beberapa tindakan segera termasuk turun ke tapak sewaktu hujan lebat bagi memastikan pam-pam utama berfungsi dengan baik serta memantau kawasan yang terlibat dengan banjir kilat.

"MBJB juga telah mengeluarkan Notis Amaran Kerja Tanah Akta 33 di atas kegagalan kawalan kerja tanah pembangunan kepada tiga pemaju pembangunan di dalam kawasan MBJB kerana telah mengakibatkan kejadian banjir lumpur hari ini selain akan memantau kerja-kerja pembersihan segera terhadap sampah sarap di parit-parit terbuka yang akan dijalankan oleh SWM Environment," katanya.

Selain itu, katanya memandangkan kejadian banjir lumpur baru-baru ini juga disebabkan oleh projek pembangunan oleh pihak pemaju, MBJB telah mengarahkan pihak pemaju membuat kawalan kerja tanah dengan segera bagi memastikan kerja-kerja pembangunan yang dibuat tidak menyebabkan kelodak atau sisa-sisa kerja tanah memasuki saliran utama yang boleh mengundang kejadian banjir kilat.

Tambah beliau, sekiranya pihak pemaju masih gagal melaksanakan sedemikian, MBJB akan terus mengeluarkan Notis Amaran Kerja Tanah di bawah Seksyen 71, Akta Jalan Parit dan Bangunan (Akta 133) bagi menghentikan kerja serta merta dan mengenakan denda sehingga RM 500,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih 10 tahun.

"Bagi tindakan jangka masa panjang, MBJB akan melaksanakan kajian bagi melihat tahap kapasiti pam sedia ada termasuk cadangan menyediakan pam baru bagi menampung pembangunan-pembangunan baru di dalam kawasan MBJB bagi memastikan aliran air dapat dilepaskan dengan lancar ke Selat Tebrau, terutamanya ketika air pasang tinggi," katanya.

Hujan lebat selama dua jam sejak 12.30 tengah hari tadi telah menyebabkan beberapa jalan utama di bandar raya ini dinaiki air antaranya Jalan Ayer Molek, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Kolam Air, Jalan Yahya Awal, Hospital Sultanah Aminah (HSA), Jalan Sungai Chat serta Persiaran Abu Bakar, yang mengakibatkan lebih 500 kenderaan terjejas.

- Bernama