Tasik Chini: Pahang yakin penuhi kriteria Unesco Sept ini
Semua usaha bagi memulihara Tasik Chini, dekat Pekan, Pahang sudah dilakukan kerajaan negeri sejak Ogos tahun lalu.
Menteri Besar, Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kerajaan negeri yakin semua proses pemuliharaan kawasan di sekitar tasik itu dapat disiapkan sebelum 30 Sept ini untuk melalui proses penilaian semula oleh Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
"Kita dah mula ni dari... kita dah wartakan hutan simpan Tasik Chini, kita buat tambahan (hutan simpan) dan kita hijaukan kawasan itu dah 80 peratus.
"Mana-mana kawasan hakisan yang mendap, kita dah perbaiki dan telah siap sebanyak 1.75 kilometer.
"Kerajaan negeri juga melibatkan masyarakat Orang Asli melalui program buy back guarantee, maknanya benih pokok-pokok tu kita beli dan kita tanam semula," katanya pada sidang media selepas persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang, di Kuantan, hari ini.
Tambah Wan Rosdy kerajaan negeri tetap berusaha supaya pengiktirafan Unesco ke atas Tasik Chini dikekalkan.
Justeru katanya kerajaan sangat berharap kerja pemuliharaan berkenaan dapat diselesaikan sebelum tarikh ditetapkan Unesco.
Merujuk kepada laporan Unesco yang dibentangkan di Majlis Penyelarasan Antarabangsa Program Manusia dan Biosphere (MAB) Unesco pada Sept tahun lalu, kerajaan Pahang dan Malaysia diminta menghantar pelan terperinci untuk rizab biosfera Tasik Chini sebelum 30 Sept tahun ini.
Laporan itu perlu menyertakan pengezonan kawasan yang dikemas kini dengan "mengekalkan tiga fungsi rizab biosfera".
Pengiktirafan Tasik Chini berkeluasan 6,922.97 hektar sebagai tapak rizab biosfera dunia berisiko ditarik balik jika gagal memenuhi kriteria ditetapkan Unesco.
Status rizab biosfera Unesco Tasik Chini mendapat perhatian selepas Malaysiakini pada 23 Julai lalu melaporkan status itu kini dalam penelitian dan penemuan awal tidak menggalakkan.
Menurut tinjauan berkala pertama Unesco mengenai Tasik Chini, tasik itu tidak lagi memenuhi kriteria untuk menjadi sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) mereka.
Tasik Chini adalah tapak biosfera pertama di Malaysia mendapat pengiktirafan Unesco diikuti Banjaran Crocker, Sabah (2014) dan Bukit Bendera, Pulau Pinang September tahun lalu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai