AS bunuh pemimpin Al-Qaeda, Zawahiri dalam serangan dron di Kabul
GLOBAL l Amerika Syarikat (AS) berjaya membunuh pemimpin Al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri, dalam satu serangan dron oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) di Kabul, Afghanistan pada awal minggu ini, kata presidennya, Joe Biden.
Menurutnya, operasi dan tindakan itu adalah yang terbesar dan satu tamparan kepada kumpulan militan berkenanaan sejak pengasasnya Osama bin Laden dibunuh pada 2011.
Zawahiri, seorang pakar bedah Mesir yang mempunyai hadiah AS$25 juta (RM111 juta) bagi sesiapa yang berjaya menahannya, turut terlibat dalam menyelaras serangan September 2001 di AS, yang mengorbankan hampir 3,000 mangsa.
Menurut pegawai AS yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, Zawahiri dibunuh ketika dia keluar dari balkoni rumah di Kabul pada pagi Ahad dan terkena peluru berpandu dari dron AS.
"Keadilan akhirnya terlaksana dan pemimpin pengganas ini sudah tiada lagi," kata Biden dalam ucapan dari Rumah Putih pada hari Isnin.
"Tidak kira berapa lama masa yang diambil, tidak kira di mana kamu bersembunyi, jika kamu menjadi ancaman kepada rakyat kami, Amerika Syarikat akan mencari dan mengheret kamu keluar."
Menurut Biden, serangan itu mendapat kelulusannya dan tiada orang awam terbunuh.
"Saya meluluskan serangan tepat bagi menghapuskannya dari medan perang. Tiada orang awam terbunuh ," katanya.
Tiga jurucakap dalam pentadbiran Taliban di Kabul enggan mengulas mengenai kematian Zawahiri.
Al-Zawahiri, 71, mengambil alih kepemimpinan al-Qaeda pada 2011 selepas Osama bin Laden dibunuh alam serangan tentera AS di Abbottabad, Pakistan.
Pengumuman Biden dibuat hampir setahun selepas tentera AS berundur dari Afghanistan yang ditaklukinya sebagai tindak balas terhadap serangan 9/11 pada 2001.
Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid sebelum ini mengesahkan bahawa serangan berlaku di Kabul pada Ahad lalu dan mengutuk sekeras-kerasnya, dan menganggap ia sebagai pelanggaran "prinsip antarabangsa."
Jurucakap kementerian dalam negeri berkata sebuah rumah di Sherpoor, kawasan perumahan mewah di bandar itu yang turut menempatkan beberapa kedutaan, juga terkena serangan roket
"Tiada kemalangan jiwa kerana rumah itu kosong," kata jurucakap Abdul Nafi Takor.
Seorang pegawai kanan Taliban memberitahu Reuters bahawa Zawahiri sebelum ini berada di wilayah Helmand dan telah berpindah ke Kabul selepas Taliban mengambil alih pemerintahan negara itu pada Ogos tahun lalu.
- Reuters
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai