Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pindaan undang-undang beri LTAT kuasa pelaburan lebih luas diluluskan

Pindaan undang-undang yang memberi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) kuasa pelaburan yang lebih luas telah diluluskan di Dewan Rakyat dengan undian suara.

Antara lain, ia akan membolehkan lembaga itu - yang menguruskan pencen untuk veteran - untuk mendepositkan wang dalam bank dan institusi kewangan tempatan atau luar negara sebagai pelaburan.

Langkah pelaburan lain yang kini dibuka kepada LTAT di Malaysia atau di luar negara termasuk memperoleh harta alih atau tak alih, pembangunan hartanah dan infrastruktur, serta sebarang produk yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) atau rakan sejawatannya di luar negara.

Rang undang-undang itu - yang meminda Akta Dana Angkatan Tentera - juga memberi kuasa kepada lembaga berkenaan untuk memperbadankan syarikat.

Pindaan lain bertujuan untuk menyemai tadbir urus yang baik dalam lembaga, dengan menghendaki ahli bebas daripada sabitan jenayah dan bertanggungjawab secara individu untuk sebarang kerugian akibat ketidakpatuhan atau pelanggaran mana-mana peruntukan.

Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata rang undang-undang itu akan membantu LTAT mempelbagaikan asetnya untuk meminimumkan risiko pelaburan.

Bagaimanapun, beberapa Ahli Parlimen menyuarakan kebimbangan mengenai pindaan itu serta rekod prestasi LTAT.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, ketika membahaskan rang undang-undang itu, meminta kerajaan menjelaskan keperluan untuk membenarkan LTAT memasukkan dana dalam akaun luar pesisir dan sama ada ia sudah berbuat demikian.

"Apakah tindakan ini bukan keterlanjuran dan kesalahan? Kita patut manfaatkan dana yang ada untuk labur dalam negara.

Kalau tidak kita dalam satu bakul dengan mereka yang dinamakan dalam Pandora Papers," katanya.

Pandora Papers ialah sekumpulan dokumen bocor milik firma perkhidmatan kewangan yang memudahkan golongan kaya di seluruh dunia - termasuk Malaysia - untuk menubuhkan dan mengurus entiti luar pesisir di kawasan perlindungan cukai.

Tidak menyalahi undang-undang untuk memiliki entiti luar pesisir tetapi ia berpotensi disalahgunakan untuk menyembunyikan kekayaan di luar negara atau untuk pengelakan cukai.

Ikmal Hisham kemudian menjelaskan bahawa LTAT tidak mempunyai pelaburan luar pesisir pada masa ini tetapi merancang untuk melabur di pasaran luar negara.

Anwar (Pakatan Harapan-Port Dickson) juga menegaskan LTAT mesti bebas daripada campur tangan politik.

Dia berkata ini bagi memastikan dana itu memberi manfaat kepada golongan veteran - terutamanya mereka dalam kumpulan pendapatan B50 - dan bukannya golongan elit yang mahu memperkayakan diri sendiri.

Kenyataan Anwar disokong oleh Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang berkata LTAT telah disalahuruskan.

Sementara itu, bekas menteri pengangkutan Anthony Loke (PH-Seremban) berkata satu contoh campur tangan politik dalam LTAT ialah bagaimana ia digunakan oleh pentadbiran Najib untuk menyelamatkan projek sistem penguatkuasaan automatik trafik (AES).

LTAT telah diarahkan oleh kerajaan untuk mengambil alih dua konsesi AES dengan kos RM555 juta tetapi firma audit KPMG menilai projek itu pada maksimum RM251 juta.

Selain meluaskan skop pelaburan dana, pindaan itu juga menyediakan jaminan kerajaan untuk wang kepada pendeposit.

Sekiranya LTAT tidak dapat membuat pembayaran kepada pendeposit, ia boleh mendapatkan pendahuluan daripada Kumpulan Wang Disatukan kerajaan, yang mesti dibayar balik secepat mungkin.