Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pinda PDPA: Speaker minta Fahmi rujuk menteri kewangan dulu

Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun meminta Fahmi Fadzil meminta pendapat daripada Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berhubung cadangannya meminda Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA).

Hal itu kerana, menurut Azhar, usul agar rang undang-undang (RUU) bagi meminda PDPA yang dikemukakan oleh ahli parlimen Lembah Pantai terbabit mungkin mempunyai implikasi kewangan kepada kerajaan.

“Saya perhatikan bahawa Yang Berhormat (Fahmi) telah mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi berdasarkan seksyen baru 47A dalam RUU tersebut.

“Penubuhan apa-apa suruhanjaya mungkin akan melibatkan isu perkhidmatan, struktur, pelantikan pegawai dan turut melibatkan perubahan penjawatan, struktur gaji dan perbelanjaan wang tambahan.

“Untuk membolehkan saya membuat keputusan, saya meminta Yang Berhormat memperolehi pendapat Menteri Kewangan sama ada RUU ini mempunyai implikasi kewangan yang lebih daripada apa yang bersampingan sahaja dan yang bersifat substantial mengikut perkara 67 (1) Perlembagaan Persekutuan,” kata Azhar dalam surat yang dilihat oleh Malaysiakini.

Ia merupakan jawapan balas Azhar terhadap usul persendirian yang dikemukakan Fahmi sebelum ini.

Azhar berkata, RUU persendirian itu hanya boleh dipertimbangkan selepas Fahmi mendapatkan pengesahan seperti yang dinyatakan olehnya.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan Fahmi mengemukakan notis usul kepada Dewan Rakyat bagi membentangkan RUU persendirian untuk memindaan PDPA.

RUU tersebut, kata Fahmi, dicadangkan untuk memberi lebih banyak kebebasan kepada Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi dan pesuruhjayanya agar mereka boleh diletakkan di bawah parlimen, bukannya menteri komunikasi dan multimedia.

Untuk rekod, undang-undang pada masa ini menetapkan bahawa menjadi budi bicara menteri untuk melantik atau membatalkan pelantikan pesuruhjaya kepada suruhanjaya tersebut.

Ia juga menyatakan bahawa pesuruhjaya boleh melantik timbalan dan penolong pesuruhjaya atas kelulusan menteri.

Sementara itu Fahmi hari ini menjelaskan dia hanya menerima maklum balas mengenai usulnya itu daripada Azhar pada 15 Julai lalu dan pada masa sama dia turut memaklumkan perkara tersebut kepada Kementerian Kewangan.

Bagaimanapun menurutnya, kementerian itu masih belum membalasnya sehingga hari ini.

“Saya rasa curiga apabila RUU dana politik daripada (ahli parlimen) Pasir Mas turut menerima respons balas yang sama, dan memandangkan Kementerian Kewangan tidak respons, saya kemukakan surat yang saya terima dari speaker itu," katanya.