Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

BELASUNGKAWA l Khalid Ibrahim dan nasib peneroka Felda

BELASUNGKAWA l Saya mula mengenali secara dekat allahyarham Abd Khalid Ibrahim sekitar tahun 2006. Ketika itu allahyarham menyertai PKR, kemudiannya dilantik setiausaha agong PKR.

Beberapa kali bertemu dan berkongsi info & pengalaman mengenai sektor peladangan, Guthrie yang dikuasai melalui peranannya dalam Guthrie Dawn Raid / 'serangan subuh' 7 September 1981 dan kaitan dengan isu Felda yang saya perjuangkan bersama rakan rakan. Allahyarham lebih selesa memanggil saya, 'Lan' dari nama sebenar saya Mazlan.

Saya mengundang allahyarham merasmikan pelancaran Ngo Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(Anak) pada 4 November 2007 di Bandar Jengka Pahang bersama Abd Hadi Awang selaku ucaptama.

Setiap kali ceramah di Felda, acap kali beliau hadir kerana Felda adalah institusi yang cukup berjasa pada orang melayu. Amat dekat dihatinya.

Semasa arwah dilantik sebagai menteri besar Selangor selepas Pilihan Raya Umum 2008, saya antara yang agak awal bertemunya di pejabat menteri besar. Antaranya bincang pasal Felda di Gugusan Sungai Dusun / Hulu Selangor yang merangkumi Felda Sungai Tengi, Felda Sungai Tengi Selatan, Felda Soeharto dan Felda Gedangsa.

Semasa Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, allahyarham kerap turun padang. Beliau tanya saya, apa yang urgent untuk warga Felda, saya kata perumahan Generasi Baharu Felda.

Alhamdulillah, perumahan Generasi Baharu Felda yang dibangunkan melalui PKNS, telah pun menjadi realiti.

Allahyarham dikenali sebagai individu yang begitu berhati-hati mengenai perbelanjaan wang rakyat. Ketika saya bersama allahyarham Suhaimi Said, Samsul Ishandar Mohd Akin dan rakan-rakan mengusulkan penubuhan taskforce Felda Selangor, tidak mudah juga untuk allahyarham Khalid untuk menerimanya pada peringkat awal.

Tetapi allahyarham akur apabila dipertimbangkan kepentingannya, apatah lagi ada isu-isu besar yang melibatkan kepentingan tanah yang hampir tergadai di Gugusan Sungai Dusun dan bekas Felda, Sungai Buaya. Allahyarham menyatakan kesukaran menangani masalah tanah Sungai Buaya yang tidak berkesudahan di peringkat mahkamah.

Penubuhan tasforce Felda Selangor yang diketuai oleh Samsul Iskandar timbalannya, allahyarham Suhaimi Said dan saya salah seorang anggota, cukup bermakna sekali.

Ia menjadi platform memperjuangkan nasib peneroka Felda di Selangor dan jadi rujukan Felda di seluruh negara, kerana ia satu satunya negeri yang berbuat demikian hingga ke hari ini.

Bagi saya, kembalinya allahyarham Abd Khalid Ibrahim ke rahmatullah pada tanggal 31 Julai lalu, sehari selepas sambutan Awal Muharram, suatu kehilangan yang amat besar kepada negara ini.

Salam takziah buat Puan Sri Salbiah Tunut dan seluruh ahli keluarga. Moga allahyarham di tempatkan di kalangan orang yang beriman.

Al-Fatihah.


DATUK MAZLAN ALIMAN adalah pengerusi, Pertubuhan Gerak Tani dan penasihat, Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(Anak).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.