Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bersatu Johor: Umno dah tak ada nilai bila anggap isu 1MDB 'cerita basi'

Seorang pemimpin Bersatu menganggap Umno sudah tidak memiliki apa-apa nilai jika pertimbangan dibuat berdasarkan kenyataan salah seorang pemimpin tertingginya semalam.

Ketua Penerangan Bersatu Johor Mohd Solihan Badri pada masa sama berkata kenyataan dibuat Mohamad Hasan mengenai isu skandal 1MDB itu juga mencerminkan peribadi timbalan presiden Umno berkenaan yang angkuh serta tidak peka dengan suasana semasa.

Menurut Mohd Solihan sangat tidak wajar untuk Mohamad menganggap rakyat sudah mengabaikan skandal yang memalukan negara seperti 1MDB itu.

"Skandal 1MDB adalah jenayah yang memalukan bangsa Melayu dan negara.

“Bagaimana dalam tempoh yang singkat Mohamad boleh melupakan penipuan dan penyelewengan kuasa paling besar serta terburuk pernah berlaku dalam sejarah zaman moden ini?" katanya hari ini.

Semalam Mohamad mendakwa isu 1MDB yang diketengahkan pembangkang sudah basi dan tidak lagi menarik minat orang ramai.

Kata bekas menteri besar Negeri Sembilan itu, hal berkenaan dapat dibuktikan dengan keputusan dua pilihan raya negeri yang diadakan pada tahun lalu iaitu di Melaka dan Johor.

Lebih daripada itu Mohamad mendakwa ketika ini orang ramai "berkerumun" mendekati watak utama yang terlibat dalam skandal tersebut iaitu Najib Razak.

“Orang dah tak kisah lagi, cerita dah basi dah. Cerita orang kata terlampau digunakan,” katanya dipetik Sinar Harian semasa berucap sempena Konvensyen Puteri BN di Kuala Lumpur semalam.

Mohd Solihan berkata Mohamad kelihatan berbangga semasa membuat dakwaan orang ramai tidak lagi berminat kepada skandal 1MDB.

"Oleh itu, jika inilah cara (Mohamad) bercakap, tahap kemampuan berfikir serta pegangan pemimpin Umno seperti itu, maka parti berkenaan sudah tidak ada nilai lagi," katanya.

Dia yang juga bekas exco Johor menambah, Bersatu negeri itu menuntut Mohamad menarik balik kenyataan semalam dan meminta maaf secara terbuka kerana memalukan orang Melayu.

"Melayu seperti Mohamad inilah sebenarnya Melayu yang mudah lupa.

"Pada masa sama, rakyat sama sekali tidak akan memaafkan dan melupakan skandal mega seperti 1MDB. Fakta kes ini tidak boleh dipadamkan," katanya.