Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mahkamah benarkan Loh cabar pengislaman 3 anak secara sepihak

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan ibu tunggal Loh Siew Hong untuk meneruskan permohonannya mengetepikan penukaran agama tiga anaknya kepada Islam.

Mahkamah membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan Loh berhubung penukaran agama yang dibuat bekas suaminya yang juga seorang mualaf, Muhammad Nagahswaran Muniandy.

Nagahswaran didakwa melarikan tiga anaknya dan menukar agama mereka tanpa pengetahuan dan kebenaran Loh, dua tahun lalu.

Dengan keputusan ini, mahkamah akan menetapkan tarikh bagi mendengar merit semakan kehakiman tersebut.

Pada Disember lalu, mahkamah sivil memberikan hak penjagaan penuh tigak anak tersebut kepada Loh.

Ketika prosiding yang diadakan secara dalam talian, hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan Loh masih dalam tempoh untuk memfailkan semakan kehakiman ketika dia berbuat demikian pada 23 Mac lalu.

Menurutnya, Loh hanya mendapat pengesahan berkenaan penukaran agama anak-anaknya pada 4 Mac tahun ini, bermakna tempoh tiga bulan untuk memfailkan tindakan undang-undang adalah bermula pada tarikh itu.

Dia berkata undang-undang berkenaan semakan kehakiman menyatakan tempoh masa untuk memfailkannya bermula daripada tarikh keputusan badan awam dibangkitkan atau tarikh di mana pihak yang terkesan dimaklumkan berkenaannya.

Kata Wan Ahmad Farid lagi, agama anak-anak Loh ditukar pada 7 Julai 2020 tetapi dia hanya mengetahuinya pada Mac tahun ini, dan Pejabat Peguam Negara (AGC) tidak membantah keputusan memberi kebenaran semakan kehakiman diteruskan.

"Memandangkan pemohon (Loh) hanya dapat tahu pada 4 Mac 2022, dia masih dalam tempoh masa (untuk memfailkan tindakan undang-undang) kerana ia bergantung kepada bila keputusan itu disampaikan kepada pemohon.

"Pemohon telah melepasi nilai ambang dalam mempertahankan kesnya," katanya.

Loh diwakili peguam A Srimurugan and Shamsher Singh Thind manakala kerajaan diwakili peguam kanan persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Zainul Rijal Abu Bakar pula mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips).

Pada 21 Februari, mahkamah juga membenarkan permohonan habeas corpus Loh untuk disatukan semula dengan anak-anaknya.

Sebulan kemudian, dia memfailkan permohonan untuk mencabar keabsahan penukaran agama anaknya.

Loh, 34, menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Maips, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin dan kerajaan negeri sebagai responden.

Menerusi semakan kehakiman ini, dia memohon perintah certiorari untuk membatalkan Akuan-Akuan Memeluk Agama Islam bertarikh 7 Julai 2020 yang dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf Negeri Perlis atas nama ketiga-tiga anaknya.

Dia juga menuntut beberapa pengisytiharan daripada mahkamah, antaranya bahawa Nagahswaran tidak layak dari segi undang-undang untuk menukar agama anak mereka kepada Islam.

Dia juga menuntut enakmen negeri Perlis - yang membenarkan seorang ibu atau bapa menukar agama anak di bawah umur kepada Islam tanpa kebenaran seorang lagi ibu atau bapa - sebagai tidak sah dari segi perlembagaan.

Selain itu, dia menuntut anak lelakinya yang berusia 10 tahun dan dua anak kembar perempuannya, 13, diisytihar beragama Hindu.

Sebelum ini, mahkamah sivil turut menolak permohonan Maips untuk menjadi pencelah dalam prosiding penceraian antara Loh dan Nagahswaran.

[Baca berita asal]