Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Oktoberfest: Menteri jangan campur tangan hal ehwal bukan Islam

ULASAN | Saya merasa kesal atas kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad yang melarang Oktoberfest diadakan kerana kononnya ia akan mencetuskan masalah sosial.

Saya sebagai ahli parlimen yang beragama Islam akur bahawa orang Islam tidak patut minum minuman yang beralkohol dan terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang haram dari segi agama Islam.

Tetapi umat Islam tidak harus campur tangan di dalam hal ehwal budaya, kehidupan dan perniagaan masyarakat bukan Islam.

Perbuatan campur tangan ini adalah bercanggah dengan ajaran agama Islam, selain itu, aktiviti perniagaan yang tidak halal oleh orang bukan Islam adalah kebebasan yang terjamin di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Oktoberfest adalah perayaan musim gugur yang berasal dari negara-negara Barat, dan ia juga disambut oleh masyarakat bukan Islam di seluruh dunia, termasuk Palestin.

Di Malaysia, Oktoberfest merupakan aktiviti-aktiviti mempromosikan bir yang diadakan secara dalaman di restoran dan pub yang tidak halal (secara tertutup).

Memandangkan sambutan tersebut tidak melibatkan hal ehwal orang Islam, menteri hal ehwal agama tidak harus mengeluarkan apa-apa kenyataan berkenaan Oktoberfest langsung.

Kenyataan Idris Ahmad terhadap aktiviti aktiviti bisnes restoran bukan Islam ini sebenarnya telah menjejaskan imej agama Islam itu sendiri kerana ianya menggambarkan Islam sebagai agama yang tidak ada toleransi dengan cara kehidupan penganut-penganut agama lain.

Kenyataan yang tidak bertolerasi seperti ini juga telah menjejaskan usaha-usaha pendahwahan dan kesedaran di kalangan bukan Islam kerana ia telah mencetuskan ketakutan di kalangan bukan Islam terhadap agama Islam.

Idris Ahmad telah berturut-turut mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian di antara masyarakat Islam dan bukan Islam sejak beliau memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Agama.

Pada bulan Jun lepas, kenyataan beliau yang menyeru umat Islam tidak hadir perayaan Bon Odori yang dianjurkan oleh Kedutaan Jepun malah mendatangkan kritikan daripada YTM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, sehingga baginda Sultan Selangor menitahkan menteri hal ehwal Islam ini untuk menghadiri program Bon Odori untuk memahami perbezaan di antara agama dan budaya.


BACA BERKAITAN:

Pesta arak Oktoberfest tak patut dibenarkan - Idris

Umat Islam dinasihat tak sertai Festival Bon Odori - Idris


Saya menyeru Idris Ahmad menghentikan segala kenyataan yang mencabuli kebebasan mengadakan aktiviti budaya dan bisnes oleh masyarakat bukan Islam.

Ini kerana segala kenyataan beliau adalah bercanggah dengan jiwa slogan “Keluarga Malaysia” yang dipelopori oleh kerajaan yang dianggotai oleh beliau.


TENGKU ZULPURI SHAH RAJA PUJI ialah Ahli Parlimen Raub.

Artikel ini asalnya kenyataan akhbar dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.