Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Upko ingatkan PBS agar 'jangan hipokrit'

Wilfred Madius Tangau mengecam pemimpin PBS Maximus Ongkili yang didakwan presiden Upko itu sebagai hipokrit dalam pendirian mereka berkaitan rang undang-undang (RUU) antilompat parti.

Menurutnya, walaupun benar Upko meninggalkan BN selepas 2018 tetapi langkah sama turut dilakukan PBS beberapa minggu kemudian.

Langkah diambil parti berpangkalan di Sabah itu, katanya, diambil bersama parti-parti gabungan Sabah dan Sarawak yang lain khususnya LDP, PBB, PRS, SUPP, dan SPDP.

"Kenapa kami (Upko) saja yang di buruk-burukkan? Dan lebih teruk lagi ialah parti-parti tersebut terlibat dalam pengkhianatan yang besar terhadap rakyat apabila menyertai pasukan kerajaan pintu belakang dalam Langkah Sheraton," tegasnya hari ini.

Ongkili pada Khamis lalu menuding jari ke arah Madius dengan dakwaan pemimpn Upko itu mengulangi sejarah apabila meninggalkan BN untuk membentuk kerajaan yang diketuai Mohd Shafie Apdal dari Warisan pada 2018 walaupun sudah menandatangani persefahaman dengan PBS dan Parti Bersatu Rakyat Sabah.

Sementara itu Madius yang juga anggota Parlimen Tuaran membidas Ongkili kerana menerima jawatan menteri dalam pentadbiran Muhyiddin Yassin selepas Langkah Sheraton.

"Bukankah dengan menerima jawatan menteri itu satu tindakan bersekongkol dan menghalalkan Langkah Sheraton?

"Bukankah itu bermaksud bersetuju dengan perbuatan melompat parti? Prinsip apa yang Maximus pakai ini?

"Seluruh negara mengetahui bahawa desakan terhadap penggubalan RUU antilompat parti ini adalah akibat daripada Langkah Sheraton yang telah mengakibatkan ketidakstabilan politik negara yang kesannya amat dirasai setiap rakyat Malaysia sehingga hari ini," katanya.

Tambah Madius, pada kesempatan sama dia menasihati Ongkili agar tidak terus menjadi hipokrit dan berkali-kali membohongi rakyat kononnya PBS tidak menyokong dan menghalalkan perbuatan lompat parti.

Jelasnya, selain menghalalkan Langkah Sheraton, PBS juga secara terang-terangan bersama-sama berkumpul di kediaman bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman, untuk meraikan kehadiran anggota dewan negeri (Adun) yang melompat dari kerajaan gabungan Warisan-PH-UPKO pada Julai 2020 yang akhirnya membawa kepada pembubaran DUN Sabah ketika itu.

"Ini bukti kukuh PBS menghalalkan perbuatan lompat parti," kata Madius.