Yusof Haslam puji Festival Peradaban Melayu, bangkit semangat golongan muda
Semangat "Mat Kilau" mewarnai Festival Peradaban Melayu 2022 yang diadakan pertama kali, bertempat di padang bola sepak akademi KLFA di Cheras petang tadi.
Beberapa orang pelakon filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan turut hadir dengan mengenakan busana Melayu tradisional di acara anjuran Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) yang berlangsung sejak pagi tadi.
Antaranya Amy Begik yang membawa watak pembunuh upahan serta Ali Karimi yang membawa watak Brahim.
Penerbit dan pengarah terkemuka tanah air, Yusuf Haslam juga hadir pada festival itu yang mahukan program seumpama itu kerap diadakan khususnya bagi generasi muda.
"Program ini sangat baik, bagus untuk membangkit semangat kesedaran orang Melayu terhadap jati diri masing-masing.
“Terutamanya untuk budak-budak mudalah. Lupa sejarah, lupa tentang perjuangan jati diri tentang ketuanan Melayu dan sebagainya.
“Bagi saya, kita harus ada acara begini untuk membangkitkan semangat dan sempena pula filem Mat Kilau yang sedang hangat ditayangkan," kata ayah kepada pengarah filem Syamsul Yusuf.
Bagi pengunjung Haziq Haikal, 21, program sebegini cukup bermanfaat bagi golongan muda bagi membangkitkan semangat serta jati diri.
"Banyak sejarah peradaban Melayu yang ramai anak muda hari ini tidak tahu.
"Mengenai tanjak misalnya, ramai yang tidak tahu sejarah tanjak, pemakaian untuk apa dan melambangkan apa," katanya.
Sementara itu, Mohd Zaki Ismail, 52, berkata program seumpama ini harus diadakan setiap tahun termasuk untuk menarik pelancong.
"Saya minta kerajaan supaya melihat program ini untuk dimasukkan dalam kalendar pelancongan negara.
"Program ini mampu menjadi tarikan baru kepada sektor pelancongan untuk mereka mempelajari tentang bangsa Melayu," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai