Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Petempatan sekitar Sungai Kupang, Baling tak lagi selamat - Aktivis

Penasihat Sahabat Alam Sik Mohd Sobri Ramlee berkata petempatan di sekitar Sungai Kupang tidak lagi selamat selepas banjir melanda sekali lagi di Kampung Iboi, Baling Kedah semalam.

Ketika diminta untuk memberikan gambaran terkini keadaan di situ, Mohd Sobri berkata sejak gelombang kedua semalam (28 Julai), kebimbangan penduduk terhadap situasi di kawasan penempatan mereka semakin bertambah.

Dia berkata, banjir semalam telah mengakibatkan jambatan sementara dinaiki air.

“Sejak banjir pertama pada 4 Julai, banyak rumah yang dimasuki lumpur apabila hujan di hulu sungai.

“Penempatan di sekitar Sungai Kupang amat berisiko dimasuki lumpur dan risiko dihanyut oleh lumpur sangat tinggi,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Berdasarkan video yang dimuat naik Kosmo di Instagram, arus sungai mengalir deras di Sungai Kupang di kampung itu, selepas hujan lebat kira-kira jam empat petang semalam.

Kawasan sekitar kemudian mula dinaiki air akibat limpahan sungai tersebut, lapor Kosmo lagi.

Ia merupakan banjir kali kedua selepas bencana yang meragut nyawa dan memusnahkan kediaman di daerah itu awal bulan ini.

Mengulangi bahawa situasi penempatan di situ dalam keadaan yang bahaya, Mohd Sobri memberitahu beberapa langkah segera seperti memindahkan semua penduduk di sekitar

Sungai Kupang ke pusat pemindahan sementara (PPS) atau memberikan penempatan sementara kepada semua rumah yang berisiko tinggi.

Ini kerana menurutnya, walaupun setakat ini penduduk yang kehilangan rumah dan yang terkesan akibat banjir itu telah dipindahkan ke PPS, tetapi masih terdapat penduduk yang berisiko yang belum ke PPS.

Pada masa sama, dia juga mengharapkan agar pihak kerajaan membantu penduduk yang kehilangan dokumen penting ketika banjir melanda kediaman mereka, seperti geran tanah, geran kenderaan, surat beranak, kad pengenalan dan dokumen penting yang lain.

“(Minta kerajaan bantu) keluarkan laporan lengkap punca banjir bagi mudahkan pihak berwajib melaksanakan kerja-kerja yang sewajarnya.

“Jika kolam takungan di dalam projek Musang King berisiko tinggi, pihak berwajib perlu mengeluarkan air dan lumpur yang ada di dalam kolam tersebut.

“Pastikan (terdapat) sumber air bersih, jalan masuk dan elektrik di bekalkan kepada rumah yang terlibat,” katanya.