Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

RUU antilompat parti: Sokongan 'katak-katak politik' melucukan - Anwar

Di sebalik terlakarnya sejarah di Dewan Rakyat semalam, Anwar Ibrahim melihat ada sisi lain yang lucu ketika rang undang-undang (RUU) mengenai larangan melompat parti diluluskan.

Kata pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, memang semua 209 ahli parlimen yang hadir memberikan undi menyokong kepada RUU yang bakal menyaksikan perlembagaan dipinda itu.

Selain ahli parlimen PH yang tekal mahukan perbuatan melompat parti dihentikan, kata Anwar, RUU semalam juga diundi oleh individu yang bertanggungjawab melakukan perbuatan tersebut sebelum ini.

"(Apa) yang melucukan semalam ialah, kita dapat (sokongan) 209 ahli parlimen termasuk PH yang memang konsisten, dan orang yang bersekongkol dengan komplot khianat ini, dan katak-katak, orang yang melompat (sebelum ini) pun turut mengundi.

"Maka ini satu perkara yang melucukan, tapi menyenangkan, alhamdullilah," katanya dalam kenyataan melalui klip video pendek hari ini.

Semalam Dewan Rakyat meluluskan cadangan pindaan perlembagaan berhubung tindakan melompat parti menerusi RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan peruntukan larangan ahli parlimen bertukar parti.

Ia disokong semua 209 ahli parlimen yang hadir, manakala 11 lagi tidak hadir.

Tiada lagi pembelotan

Dengan pindaan tersebut, seseorang ahli parlimen akan kehilangan kerusinya jika keluar parti atau tidak lagi menjadi ahli parti yang dianggotainya. Namun, ia terkecuali kepada ahli parlimen yang dibuang parti.

RUU itu kemudian akan dibentang, dibahas dan dijangka diluluskan Dewan Negara bulan depan.

Gesaan untuk melaksanakan akta melarang tindakan melompat parti dipergiat ekoran tindakan sekumpulan ahli parlimen PKR menyertai Bersatu meninggalkan PH pada akhir Feb 2020.

Insiden itu - digelar Langkah Sheraton - menyaksikan PH tumbang di sebalik mandat yang diterimanya daripada pengundi dalam PRU ke-14.

Bersatu kemudian bekerjasama dengan PAS dan BN dan disokong Gabungan Parti Sarawak untuk membentuk kerajaan baru.

Untuk rekod sebelum kejatuhan PH, beberapa ahli parlimen dan Adun Umno-BN juga meninggalkan parti berkenaan untuk menyertai parti lain, khususnya Bersatu.

Anwar berkata dengan lulusnya cadangan berkenaan, dia yakin kegiatan membelot dan melompat parti akan dapat dikekang selepas ini.

"Ini adalah satu kemenangan buat rakyat," katanya.